Anda di sini

Elizabeth II rai jubli nilam

Advertisement
 Elizabeth II memakai set barangan kemas bertatahkan nilam dan berlian hadiah ayahandanya Raja George VI dalam gambar rakaman David Bailey pada 2014 serahan Istana Buckingham baru-baru ini . — Gambar Reuters
ANGGUN: Elizabeth II memakai set barangan kemas bertatahkan nilam dan berlian hadiah ayahandanya Raja George VI dalam gambar rakaman David Bailey pada 2014 serahan Istana Buckingham baru-baru ini . — Gambar Reuters

LONDON: Ratu Elizabeth II, ratu paling lama memerintah di dunia, semalam mencipta rekod baharu sebagai ratu Britain pertama untuk menyambut jubli nilam, selepas 65 tahun bertakhta.

Baginda, kini 90, menaiki takhta pada 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan awal ayahandanya Raja George VI.

Seperti mana peristiwa penting pada masa lalu dalam pemerintahannya yang lama, Elizabeth kemungkinan akan menghabiskan masa pada Hari Kenaikan Takhta secara peribadi di Estet Sandringham di Norfolk, timur England.

Bagaimanapun, kelmarin, baginda tersenyum ketika orang ramai yang mengucapkan tahniah memberikan bunga kepadanya di luar gereja.

Di Menara London, di Green Park di ibu negara, dan di seluruh negara, tembakan hormat akan dilepaskan sebagai tanda penghormatan.

Nilam merupakan batu permata ulang tahun ke-65 dan sekeping gambar telah dikeluarkan semula yang menunjukkan baginda memakai barangan kemas batu nilam yang diberikan ayahandanya sebagai hadiah perkahwinan pada 1947.

Potret pada 2014 oleh David Bailey itu menunjukkan baginda memakai rantai leher berkilauan, yang dihasilkan pada 1850 dan meliputi 16 butir batu nilam berbentuk bujur lonjong bertatahkan berlian.

“Baginda mempunyai mata yang sangat baik dengan sedikit sinar kenakalan.

“Saya selama ini menyukai wanita yang tabah, dan baginda adalah seorang wanita yang sangat tabah,” kata jurugambar itu ketika itu.

Royal Mint telah menyambut ulang tahun dengan syiling sambutan yang direka khas, meliputi syiling 5 sen hingga syiling emas tulen seberat satu kilogram yang bernilai AS$50,000 untuk dijual.

Syiling 5 sen menampilkan mahkota diraja yang menunjukkan batu nilam Stuart.

Ia turut mempunyai kata-kata terkenal ketika ucapan ulang tahun ke-21 beliau hingga kepada Komanwel pada 1947: “Seluruh hidup saya, sama ada panjang atau pendek, harus bertujuan berkhidmat untuk anda.”

Sementara itu Royal Mail telah mengeluarkan satu setem 5 sen dengan warna biru nilam.

“Ia adalah sangat, sangat sukar untuk membenci beliau,” kata Andrew Gimson, penulis buku ‘Gimson’s Kings and Queens’, kepada AFP.

“Beliau tidak pernah menjawab balik, dia sentiasa berada di atas politik.

“Pada keseluruhannya, ahli politik kita sama sekali tidak popular kalangan rakyat jelata.

“Mereka lebih suka dengan wanita yang bertanggungjawab ini untuk menjalankan peranan ini.”

Ratu Elizabeth menjadi kerabat diraja Britain yang paling lama berkhidmat dalam sejarah pada September 2015 apabila beliau mengatasi pemerintahan moyang beliau Ratu Victoria, satu rekod yang beliau sebut “bukan sesuatu yang saya pernah inginkan”.

Baginda juga menjadi kerabat diraja hidup yang paling lama memerintah dunia pada Oktober tahun lepas ekoran kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej di Thailand.

Tiga jubli besar Ratu Elizabeth adalah jubli perak pada 1977, selepas 25 tahun, yang diwarnai parti jalanan dan jelajah dunia.

Jubli emas pada 2002, pada tahun ke-50, memaparkan satu konsert pop di Istana Buckingham manakala jubli intan pada 2012, sempena 60 tahun, menyaksikan pertandingan sungai di Sungai Thames, London.

Sebagai ketua badan Komanwel, baginda juga sudah menjadi ratu Australia, Kanada dan New Zealand selama 65 tahun.

Dengan usia yang semakin lanjut, Ratu Elizabeth perlahan-lahan menyerahkan lebih banyak tanggungjawab kepada anggota lebih muda dalam kerabat diraja.

Cucundanya Putera William, 34, yang merupakan pewaris kedua takhta selepas ayahandanya Putera Charles, meletak jawatan sebagai juruterbang ambulans udara tahun ini untuk menjalankan lebih banyak tugas diraja mewakili nendanya. — AFP

Advertisement