Anda di sini

Bintulu serlah kehebatan

Advertisement
 Skuad Bintulu muncul juara Kumpulan A LBR Wanita Zon Borneo bersama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Presiden BiFA, Duke Janteng (tengah), Mohd Hakimi (duduk tiga kanan), pengurusan pasukan dan jurulatih.
JUARA: Skuad Bintulu muncul juara Kumpulan A LBR Wanita Zon Borneo bersama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Presiden BiFA, Duke Janteng (tengah), Mohd Hakimi (duduk tiga kanan), pengurusan pasukan dan jurulatih.

BINTULU: Skuad Bintulu muncul juara Kumpulan A Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wanita Kebangsaan Zon Borneo dengan mengumpul enam mata serta enam jaringan keseluruhannya.

Skuad itu menang dua kali dan kalah sekali dalam tiga perlawanan pada Jumaat, Sabtu dan petang Ahad (kelmarin) di Padang Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Menang 3-1 ke atas Samarahan pada perlawanan pembukaan, tewas 1-3 di tangan Sibu pada Sabtu dan menang 2- 0 ke atas Sekolah Sukan Sabah pada perlawanan pe t ang k e l - marin.

Manakala naib juara disandang Sibu terikat 0-0 dengan Sekolah Sukan Sabah pada perlawanan pembukaan, menang ke atas Bintulu 3-1 pada Sabtu namun tewas 0-1 di tangan Samarahan pada Ahad sekali gus mengumpul empat mata dengan tiga jaringan.

Diikuti tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi Sekolah Sukan Sabah mengumpul empat mata tetapi hanya memperolehi dua jaringan dan Samarahan mengumpul tiga mata juga dua jaringan keseluruhan.

Dengan menjuarai Kumpulan A, skuad Bintulu dan Sibu mewakili Zon Borneo akan memasuki perlawanan suku akhir pada 17 dan 19 Februari ini yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.

Jadual perlawanan pada tarikh sebelumnya telah ditunda ke tarikh baharu.

Bintulu akan melawan Batang Padang (Perak) dan Sibu menentang Felda United (Kuala Lumpur) masingmasingnya dicadangkan akan berlangsung di Padang Kompleks Sukan MSN Jeonsa, Jalan Raja Muda Kuala Lumpur dan Padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Ketua jurulatih skuad Bintulu, Mohamad Hakimi Man berkata menjuarai Kumpulan A LBR Wanita Zon Borneo merupakan pencapaian luar biasa pasukan Bintulu.

“Keupayaan menumbangkan Sekolah Sukan Malaysia Sabah 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan memberi keyakinan kepada Bintulu mara lebih jauh pada perlawanan pusingan seterusnya,” katanya mengulas pencapaian skuad Bintulu semalam.

Katanya, pencapaian luar biasa itu merupakan hasil kerjasama berpasukan membabitkan semua pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan.

“Semua pemain skuad Bintulu adalah gabungan pemain-pemain zon utara terdiri pemain-pemain diserapkan dari Bintulu, Miri dan Limbang.

“Saya berterima kasih kepada persatuan tiga bahagian terbabit iaitu Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Persatuan Bola Sepak Miri (MFA) dan Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan zon utara,” katanya.

Beliau berkata, kini memfokuskan usaha dan merencana perancangan terbaik menghadapi Batang Padang (Perak) untuk melakar satu lagi kejutan dan penundaan tarikh perlawanan suku akhir memberikan masa kepada pemain-pemain membuat persediaan lebih rapi.

Skuad Bintulu dan Sibu mewakili LBR Zon Borneo bertarung dalam pusingan suku akhir pada 17 dan 19 Februari dan sekiranya melepasi halangan itu bakal ke separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir.

Bintulu, Sibu, Samarahan (Sarawak) dan Sekolah Sukan Sabah (Sabah) diletakkan dalam Kumpulan A untuk Zon Borneo dalam saingan Liga Bola Sepak Rakyat Wanita.

Bintulu dipilih menjadi tuan rumah Zon Borneo.

Manakala Kumpulan B terdiri Batang Padang (Perak), Batu Gajah (Perak), FELDA dan Al Astana FC (Pahang), Kumpulan C Jeonsa (Selangor), Tg Malim (Perak) dan Sri Sador FC (Kelantan), diikuti Kumpulan D Kota Setar (Kedah), Kerian (Perak) dan USM FC (Kelantan) berlangsung di venue lain.

  • oleh
  • Advertisement