Anda di sini

Curi troli di pasar raya, lelaki dipenjara dan didenda RM500

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki semalam dihukum penjara sehari dan didenda RM500 selepas mengaku bersalah mencuri sebuah troli di sebuah pasar raya dan gagal menunjukkan kad pengenalan, Selasa lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM250 bagi pertuduhan mencuri terhadap S. Mani, 54, dan denda RM250 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Jan lepas dan akan dipenjara 15 hari lagi jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah mencuri sebuah troli milik pasaraya Aeon Big, Midvalley, Brickfields, di sini, pada jam 11.37 pagi, 31 Jan lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dia juga gagal menunjukkan kad pengenalan di tempat dan tarikh sama mengikut Peraturan 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan berkata: “saya minta maaf, saya kurang sihat...saya tidak bekerja hanya jual besi dan curi troli untuk dijual”.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal.

Di mahkamah sama, seorang wanita Lee Cheong How, 36, didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, di hadapan Hotel Eastern, Jalan Raja Laut, di sini, pada 11 malam, 26 Jan lepas.

Lee didakwa menawarkan khidmat seks itu dengan bayaran RM60 untuk sekali perkhidmatan mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Bernama

Advertisement