Anda di sini

Perkongsian sama-sama menang K. Selatan - Malaysia

Advertisement

TPM dan Daegu Technopark bekerjasama meningkatkan pengkomersialan dan pindahan teknologi

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) dan Daegu Technopark dari Korea Selatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membangunkan pertumbuhan industri dan perniagaan serantau.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, TPM berkata usaha tersebut akan mendorong kerjasama yang lebih baik lagi bagi mewujudkan perkongsian sama-sama menang antara syarikat baharu bermula dan perusahaan Korea Selatan dan Malaysia.

Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak bagi memajukan program inkubator bersama strategik, dan menyediakan peluang kepada para peserta mereka untuk meneroka perniagaan baharu dan usaha-usaha pelaburan di peringkat antarabangsa,” kata syarikat itu.

MoU tersebut merupakan kerjasama kedua antara TPM dan organisasi Korea Selatan dalam tempoh dua bulan lepas, susulan perjanjian dengan Seoul Business Agency pada November lepas.

Antara lainnya, bidang kerjasama termasuklah pindahan dan pengkomersialan teknologi dan kerjasama teknikal.

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang pesat membangun, kerjasama antara individu yang berfikiran sama seperti usahawan dan usahawan tekno merupakan satu sinergi terbaik untuk menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan baharu dengan teknologi, dan juga pengkomersialan,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Mohd Azman Shahidin.

Hubungan perdagangan dua hala dan kerjasama di peringkat antarabangsa akan membolehkan syarikat meneroka dan meningkatkan tahap daya saing mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Anjakan paradigma perkongsian pintar ini akan mewujudkan peluang sama-sama menang bagi memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri rantau ini,” kata Azman.

Dalam usaha meningkatkan hubungan antarabangsanya, TPM menjalin kerjasama dengan rakan setaranya di Hong Kong, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan.

TPM, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, memiliki infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan sokongan bersepadu bagi membantu usahawan tekno dan usahawan yang berminat untuk mengkomersialkan idea-idea mereka dalam empat sektor; teknologi maklumay dan komunikasi, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau. — Berrnama

Advertisement