Anda di sini

Bekas francaisi induk Chatime sasar kendali lima juta pelanggan

Advertisement

PETALING JAYA: Loob Holdings Sdn Bhd, merancang mengembangkan perniagaan dan mengendalikan lima juta pelanggan sebulan mulai tahun depan menerusi jenama baharu yang akan diumumkan sebelum 6 Mac ini.

Ia mengendalikan kira-kira dua juta pelanggan pada masa ini.

Ketua Pegawai Esekutifnya, Bryan Loo Woi Lip berkata syarikat itu juga merancang untuk menambah bilangan cawangannya kepada 250 buah serta membelanjakan RM10 juta bagi memperkenalkan jenama baharu produknya.

Kami yakin dapat mencatat prestasi lebih baik berdasarkan rekod pencapaian serta mengekalkan struktur perniagaan sedia ada,” katanya pada sidang media mengenai hala tuju syarikat itu di sini, baru-baru ini.

Loob ketika ini mengendalikan serta memiliki 165 cawangan secara langsung dan tidak langsung menerusi rakan serta sub-francaisi atau penerima francais di bawah francais ‘Chatime’ di Malaysia.

Bagaimanapun, perniagaan itu berdepan masalah selepas syarikat francais itu, La Kaffa International Co Ltd dari Taiwan bertindak membatalkan francais itu pada 5 Januari lepas.

Loo berkata syarikat itu akan membincangkan semula perjanjian dengan pengendali stesen minyak untuk meneruskan operasi premis di bawah jenama baharu.

Ini turut menjadi usaha memulakan strategi agresif mengembangkan cawangan berkenaan di stesen-stesen minyak, transit aliran ringan serta transit aliran massa.

Kos pembukaan cawangan baharu itu bernilai antara RM400,000 dan RM500,000 bergantung kepada pelbagai faktor seperti lokasi, katanya.

Loo juga menyuarakan keyakinannya bahawa nama baharu itu akan menyaingi ‘Chatime’ jika La Kaffa berhasrat meneruskan operasi di Malaysia.

Jika mereka membuka cawangan itu, kami akan beroperasi di sebelahnya,” katanya.

Biarpun kontrak itu ditamatkan tanpa dijangka, beliau mengulangi bahawa keutamaan syarikat yang ditubuhkan pada 2010 adalah untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, tahun depan.

Selain ‘Chatime,’ Loob turut mengendalikan pelbagai portfolio jenama makanan dan minuman termasuk Tino’s, Pizza dan Soda Xpress. — Bernama

Advertisement