Anda di sini

Dayang beri persembahan yang memukau di AJL31

Advertisement
 Dayang (tengah) bersama penulis lirik Iman Imran (kiri) dan Natasya.
PEMENANG UTAMA: Dayang (tengah) bersama penulis lirik Iman Imran (kiri) dan Natasya.

LAGU ‘Lelaki Teragung’ yang telah dipersembahkan oleh penyanyi tersohor kelahiran negeri Sarawak Dayang Nurfaizah muncul sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu Ke-31 dalam pertandingan akhir yang telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil ciptaan oleh komposer Natasya dan penulis lirik Iman Imran, ‘Lelaki Teragung’ telah membawa tuah atas gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50, 000, sebuah trofi dan beberapa hadiah tajaan yang lain.

Dayang turut memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 dan sebuah trofi. Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Dayang dalam kategori yang sama sepanjang penglibatan beliau dalam pertandingan tersebut sejak 2001.

Saya berasa amat gembira dan bersyukur ke atas kemenangan yang amat bermakna ini. Secara jujur, saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana kesemua finalis memberikan yang terbaik dan persaingan adalah sangat sengit. Namun saya berasa amat teruja dan bangga dengan pencapaian ini kerana saya tahu bahawa bakat saya amat dihargai,” jelas penyanyi bertaraf dunia yang berumur 35 tahun itu sambil menambah bahawa kesemua finalis mempunyai peluang yang sama untuk bergelar juara AJL Ke-31 semasa temubual telefon baru-baru ini.

Dayang berharap persembahan beliau menerusi lagu ‘Lelaki Teragung’ yang disampaikan khas buat peminatnya terutama rakyat negeri Sarawak dapat memberikan impak dan menyentuh hati kerana ia turut didedikasikan kepada Allahyarham bekas Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi memperingati sumbangan beliau terhadap pembangunan negeri Sarawak buat rakyat di negeri tersebut.

Saya telah menerima banyak permintaan daripada rakyat Sarawak sebelum pertandingan akhir pada malam itu yang menginginkan saya membawa lagu tersebut sebagai dedikasi kepada Allahyarham Tok Nan. Saya telah berazam untuk memberikan yang terbaik menerusi persembahan saya dan menghasilkan sebuah persembahan yang pasti akan diingati semua. Saya berasa amat gembira melihatkan bahawa persembahan tersebut telah menyentuh hati ribuan penonton.

Saya telah membuat persembahan di hadapan Allahyarham Tok Nan buat beberapa kali dan saya sedar bahawa beliau merupakan seorang yang amat meminati dan menghargai muzik dan dunia seni suara. Saya berharap untuk menganjurkan sebuah persembahan penghormatan yang lebih teratur bersama beberapa orang penyanyi lain pada masa akan datang,” jelas Dayang.

AJL 31 telah memperlihatkan Dayang bekerjasama sekali lagi bersama rakan kolaborasi beliau iaitu penulis lirik Iman Imran, yang beliau anggap sebagai seorang yang sangat memahami.

“’Kerjasama di antara Dayang dan Iman amat serasi. Mudah bagi saya untuk membincangkan perkara-perkara dengan Iman, dan saya percaya bahawa beliau merupakan seorang penulis lirik yang amat berbakat dan sentiasa menghasilkan karya seni kreatif dan lirik yang agak kompleks tetapi mudah difahami.

Saya harap kami akan meneruskan kerjasama ini untuk projek-projek pada masa akan datang kerana saya percaya bahawa kemenangan dalam AJL adalah berkat kerjasama yang utuh di antara penyanyi, komposer dan penulis lirik dengan sokongan padu daripada peminat, tambah Dayang.

Sepanjang penglibatan Dayang dalam Anugerah Juara Lagu, sebuah acara yang berprestij dan anugerah muzik tertua di Malaysia sejak tahun 2001, beliau telah memenangi beberapa anugerah termasuklah Juara Kategori Balada AJL 2001 melalui lagu ‘Seandainya Masih Ada Cinta’, tempat ketiga keseluruhan dan juara Vokal Terbaik AJL 2015 melalui lagu ‘Di Pintu Syurga’, juara kategori Vokal Terbaik AJL 2016 melalui lagu ‘Tak Pernah Menyerah’.

Sehingga kini, Dayang telah menghasilkan 10 album studio dan kini di dalam proses menghasilkan album terkini yang dijangkakan akan keluar akhir tahun ini dan akan memuatkan beberapa buah lagu yang telah mendapat tempat di hati peminat termasuklah ‘Di Pintu Syurga’, ‘Tak Pernah Menyerah’ dan ‘Lelaki Teragung’.

Melihatkan minat dalam bidang muzik dan kecenderungan generasi muda kini yang ingin menjadi seorang penyanyi, Dayang ada nasihat kepada mereka di luar sana yang ingin menempa nama besar dalam industri muzik tanah air.

Sentiasa percaya pada diri sendiri dan jangan mudah berputus asa. Apa yang pening adalah sentiasa percaya pada bakat dan kebolehan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi kebanggaan rakyat Sarawak, Hafiz Suip muncul sebagai naib juara AJL 31 melalui lagu ‘Terimaku Seadanya’, sebuah lagu duet bersama Misha Omar. Lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh Ajai telah membuatkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35, 000 dan sebuah trofi.

Kumpulan Projector Band memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20, 000 dan sebuah trofi melalui lagu mereka ‘Sudah Ku Tahu’ hasil karya komposer Razif Zainuddin yang juga merupakan salah seorang ahli dalam kumpulan tersebut.

Para finalis lain yang turut bertanding dalam AJL 31 termasuklah Sufian Suhaimi menerusi lagu ‘Terakhir’, Alif Satar & Shila Amzah (Selamanya Cinta), Aiman Tino (Ku Rela Dibenci), Hazama (Di Amaran Mama), Akim & the Majistret (Obses), Elizabeth Tan & Awi Rafael (Setia), Syamsul Yusof & Mawi (Kalah Dalam Menang), Khalifah (Hang Pi Mana) dan Black (Anugerah Terindah).

Kumpulan Khalifah memenangi kategori Persembahan Terbaik dengan persembahan secara langsung mereka pada malam tersebut dan menerima hadiah wang tunai RM12, 000 dan sebuah trofi.

Kesemua kategori telah diadili oleh para juri professional yang diketuai oleh Azmeer, kecuali kategori Persembahan Terbaik yang telah dibuka untuk undian dalam talian menerusi lawan web www.anugerahjuaralagu.com.

Dihoskan oleh empat orang penyampai termasuk Fara Fauzana, Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim dan Fizi Hot FM, acara kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-31 yang bertemakan ‘Cerita Dalam Lagu’ telah disiarkan secara langsung dari PWTC di saluran TV3, www.tonton.com.my, www.anugerahjuaralagu.com dan radio Hot FM bermula jam 9 malam.

Penyanyi-penyanyi legenda Ella, Ameng Spring dan Man Bai turut melakukan persembahan pada malam tersebut. Rating AJL 31 ialah enam juta.

Anugerah Juara Lagu (AJL) mula diperkenalkan di TV3 pada tahun 1986. Francisca Peter merupakan juara pertama AJL dengan mempertaruhkan lagu popular beliau bertajuk ‘Sekadar Di Pinggiran’ hasil gubahan Manan Ngah dan Lukhman S.

Antara penyanyi terkenal yang juga pernah muncul sebagai juara dalam acara anugerah tersebut termasuklah Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza.

  • oleh
  • Advertisement