Anda di sini

Penganjuran liga bola sepak tempatan diseragamkan

Advertisement

KUCHING: Penganjuran liga bola sepak tempatan melibatkan ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan diseragamkan.

Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan berkata ini bagi memastikan program pembangunan sukan bola sepak di negeri ini berjalan lancar menerusi pendekatan tersebut.

Katanya, penyeragaman itu sekali gus mengelak pertembungan penganjuran kejohanan peringkat tempatan dan kejohanan anjuran FAS sendiri.

“Justeru, melalui pendekatan itu (seragam) maka tiada isu pertembungan atau pertindihan kejohanan sama ada anjuran ahli-ahli gabungan atau FAS,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razali berkata antara pertandingan anjuran FAS ialah Piala Sarawak, Piala Juara-Juara Liga Sarawak dan Piala Belia.

Sehubungan itu, FAS tidak mahu timbul sebarang isu sekiranya penyeragaman penganjuran kejohanan setiap bahagian tidak dilaksanakan.

Razali turut mengemukakan cadangan awal kepada semua ahli gabungan agar penganjuran kejohanan atau liga dilakukan pada April atau Mei ini.

Beliau yakin setiap gabungan FAS tidak mempunyai masalah untuk menerima cadangan tersebut.

“Kita telah mencadangkan agar sebarang kejohanan boleh diadakan pada April atau Mei. Semua ahli gabungan diyakini bersetuju dan tidak mempunyai masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Advertisement