Anda di sini

TLDM komited jaga keselamatan perairan Sabah, Sarawak

Advertisement
 Khairul (kiri) dan Mahani (kanan) bergambar kenangan bersama Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah.

PERKASA KESELAMATAN: Khairul (kiri) dan Mahani (kanan) bergambar kenangan bersama Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah.

KOTA KINABALU: Masya-rakat tidak perlu khuatir kerana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited menjaga keselamatan perairan Sabah dan Sarawak.

Panglima Wilayah Laut 2 Datuk Khairul Anuar Yahya berkata TLDM bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berusaha mempertingkatkan kawalan keselamatan dan memelihara kedaulatan di negara ini.

Sehubungan itu pihaknya membuat penstrukturan semula organisasi dengan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur yang dijangka pada awal April ini.

“Penubuhan markas ini merupakan antara usaha TLDM memperkasakan aspek keselamatan negara.

“Armada Timur juga bakal membuka satu lagi wilayah yang dipanggil Wilayah Laut 4 berpangkalan di Bintulu, Sarawak.

“Selain itu, aset-aset sedia ada turut ditambah bagi memastikan perairan kita sentiasa terjaga.

“Aset antara Armada Barat berpangkalan di Lumut, Perak serta Armada Timur di Teluk Sepanggar juga akan dibahagikan sama rata,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan perpisahan kepada Tuan Yang Dipertua, Tun Juhar Datuk Mahiruddin dan Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M Jasni di Istana Negeri, pagi kelmarin.

Khairul Anuar yang mula berkhidmat di Sabah pada 12 Mei 2015, kini bertukar keluar ke Markas Tentera Laut.

Majlis serah terima tugas beliau kepada Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob telah disaksikan oleh Laksamana Madya Dato’ Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli di Dewan Serbaguna Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sebagai pengganti merangkap Panglima Angkatan Kapal Selam.

Advertisement