Anda di sini

Bakat dilantik pengurus baharu Dewan Suarah Kapit

Advertisement

KAPIT: Ahli Majlis Daerah Kapit (MDK) Kaunselor Bakat Gira dilantik sebagai pengurus baharu Dewan Suarah Kapit berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bakat mengambil alih jawatan tersebut daripada Wilfred Billy Panyau yang dilantik sebagai Temenggung Bahagian Kapit.

Majlis serah terima tugas dihadiri kira-kira 38 kakitangan Dewan Suarah Kapit, Kompleks Sukan Bersepadu Jalan Bleteh dan kolam renang.

Wilfred merupakan bekas Pegawai Waran II Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bersara pada Jun 1984.

Beliau menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan dilantik sebagai pengurus Dewan Suarah Kapit sejak 1989 hingga 31 Disember lalu.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Wilfred telah menguruskan dewan suarah, kompleks sukan bersepadu di Jalan Bleteh dan kolam renang dengan baik dan penuh displin.

Beliau mengisi kekosongan jawatan temenggung selepas ditinggalkan oleh mendiang Temenggung Datuk Kenneth Kanyan.

Sementara itu, Bakat mencipta sejarah sebagai ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang pertama mengisi jawatan pengurus Dewan Suarah Kapit.

Bakat berasal dari Rumah Nyamok, Nanga Serau, Sungai Ga’at, Hulu Baleh memegang jawatan naib pengerusi PRS Baleh.

Beliau juga merupakan seorang kontraktor dan pernah memegang jawatan ketua pemuda PRS Baleh.

Selain itu, Bakat juga memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Jawatankuasa Perlesenan Majlis Daerah Kapit.

Dalam ucapan ringkasnya, Bakat berterima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing kerana memberi kepercayaan kepadanya menyandang jawatan pengurus baharu Dewan Suarah Kapit.

Beliau berjanji akan melaksanakan tugasnya dengan baik demi kepentingan rakyat di bahagian tersebut.

Advertisement