Anda di sini

Ranau kekurangan bekalan minyak masak

Advertisement
 Ruang yang sepatutnya untuk meletak minyak masak terpaksa digantikan dengan barangan lain.

HABIS: Ruang yang sepatutnya untuk meletak minyak masak terpaksa digantikan dengan barangan lain.

RANAU: Daerah Ranau turut menghadapi kekurangan bekalan minyak masak sama ada dalam bentuk peket plastik mahupun dalam botol plastik, sejak beberapa minggu lepas.

Tinjauan ke beberapa premis di pekan Ranau kelmarin mendapati semua premis yang biasanya menjual minyak masak menyatakan ketiadaan bekalan sejak dua minggu lepas dan masih menunggu bekalan baharu.

Salah seorang peniaga yang ditemui, Datuk Chua Kim Siong memberitahu, apabila ada bekalan yang tiba, ia akan habis sekejap sahaja sebab ramai pelanggan mahu membelinya.

“Ada juga yang membeli dengan kuantiti yang banyak tetapi kami tidak benarkan, untuk memberi peluang kepada pelanggan lain,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Pengguna Daerah (PHEPD) Ranau Halimin Saping berharap bekalan akan pulih seperti biasa dalam tempoh terdekat.

Beliau juga mengharapkan agar kekurangan bekalan minyak masak itu tidak dijadikan isu politik.

“Para pengguna harus bersabar kerana kekurangan bekalan minyak masak itu tidak berpanjangan,” katanya.

Salah seorang pengguna, Suwin Gampios, 54, dari Kampung Marakau menggesa pihak berwajib agar berbuat sesuatu bagi mengatasi kekurangan bekalan minyak masak bukan sahaja di daerah Ranau, malah di seluruh negeri Sabah.

Sementara itu, FFM Marketing yang bertanggungjawab mengedarkan bekalan minyak masak di Sabah, ketika dihubungi, memberitahu antara faktor kekurangan bekalan minyak masak di setiap daerah adalah disebabkan ketiadaan kenderaan untuk mengangkutnya ke daerah-daerah terbabit.

“Kita ada banyak bekalan minyak masak tetapi kekurangan lori untuk menghantar ke daerah-daerah yang terlibat,” katanya dan menambah, masalah kekurangan bekalan itu akan diatasi dalam masa dua atau tiga hari bermula semalam.

Advertisement