Anda di sini

Solar hibrid ganti penjana kuasa di sekolah luar bandar

Advertisement

KUCHING: Sekolah luar bandar di Sarawak yang masih bergantung kepada penjana kuasa bagi membekalkan elektrik bakal menggunakan solar hibrid sebagai alternatif.

Ia termasuk 369 sekolah luar bandar seluruh negeri apabila sebuah syarikat iaitu Jepak Holdings Sdn Bhd telah diberi tanggungjawab mengambil alih kerja termasuk menyediakan sistem solar hibrid ke sekolah terbabit.

Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkata, syarikat diberi tempoh dalam masa tiga hingga lima tahun menyiapkan projek berkenaan.

Beliau berkata mereka telah dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil alih dengan menyelenggara penjana kuasa, membekal diesel serta sistem solar hibrid bermula 1 Januari 2017 di kesemua 369 sekolah terbabit.

“Kos untuk projek adalah lebih kurang RM1.6 bilion dan tempoh kontrak adalah 3+2, iaitu penyiapan untuk tempoh tiga tahun dan sekiranya ada masalah akibat musim hujan tempoh projek dilanjutkan kepada dua tahun.

“Bagaimanapun perancangan akan bermula pada Februari ini dengan perunding tempatan dan kami menggunakan teknologi terkini iaitu dari Jerman dan Itali,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jepak Holdings Sdn Bhd Abang Nawawi Abang Drahman di sini, semalam.

Saidi berkata, pihaknya diberi tempoh untuk menyiapkan projek dalam tempoh tiga tahun dengan merangkumi semua sekolah terbabit.

“Kami akan berusaha menyiapkan ia untuk tempoh tiga tahun dengan bukan sahaja membekalkan diesel buat masa ini tetapi sistem tenaga alternatif ini nanti,” katanya.

Mengulas lanjut Saidi berkata, sekiranya keadaan cuaca tidak baik atau cahaya matahari tidak mencukupi, secara automatik penjana kuasa di sekolah berkenaan akan digunakan.

Namun katanya apa yang penting adalah penggunaan sistem solar hibrid itu mampu mengurangkan kos kira-kira 70 peratus berbanding menggunakan penjana kuasa sedia ada.

Sementara itu Abang Nawawi berkata, sebagai syarikat diberi tanggungjawab dengan pengalaman selama 30 tahun, Jepak Holdings mampu menyampaikan perkhidmatannya.

“Kami berjanji dengan pengalaman yang ada, kami akan menyampaikan perkhidmatan kerja-kerja ini seperti mana dikehendaki kerajaan untuk memastikan penyediaan kemudahan terbaik kepada sekolah luar bandar,” katanya.

Jepak Holdings Sdn Bhd merupakan syarikat Bumiputera berpangkalan di Bintulu dengan penubuhan lebih 30 tahun serta terlibat dalam industri minyak dan gas selain bidang pengangkutan, katering dan sebagainya.

Advertisement