Anda di sini

Sukan Sarawak bakal kembali

Advertisement

Oleh Ghaz Ghazali//

 Dr Ong (tengah) mempengerusikan mesyuarat MSNS, SSC dan persatuan-persatuan sukan di Sarawak. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman (kanan).

MESYUARAT: Dr Ong (tengah) mempengerusikan mesyuarat MSNS, SSC dan persatuan-persatuan sukan di Sarawak. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman (kanan).

KUCHING: Perancangan sedang dilakukan bagi mengembalikan semula temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) kali terkahir diadakan pada 1990 ketika Sarawak menjadi tuan rumah edisi kedua Sukan Malaysia (SUKMA).

Kertas kerja mengenai cadangan itu telah dibentangkan ketika mesyuarat persatuan-persatuan sukan negeri bersama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.

Pengarah MSNS Dr Ong Kong Swee berkata, kertas kerja itu adalah hasil kajian dan perbincangan antara penyelaras dan pakar sukan pelbagai pihak dan SUKSAR dianjurkan setahun sebelum SUKMA.

“Formatnya adalah sama iaitu penganjuran dua tahun sekali.

Acara-acara dicadangkan pada SUKSAR adalah kategori-kategori yang berpotensi besar menyumbang pingat kepada kontinjen Sarawak.

“Matlamat utama mengembalikan SUKSAR adalah mengenal pasti dan menggilap bakat-bakat baharu bakal menjadi bintang sukan Sarawak masa hadapan, juga mengetengahkan bakat-bakat sukan dari luar bandar dan pedalaman memandangkan pemilihan atlet adalah melalui tiga zon utama iaitu zon selatan, tengah dan utara,” kata Dr Ong.

Ketuia Pegawai Eksekutif SSC itu berkata, SUKSAR juga bermatlamat memperkukuh pengalaman dan keupayaan pegawai sukan dan sukarela mengurus temasya sukan besar.

Di samping itu, ia juga membolehkan Sarawak terus menggunakan peralatan dan kemudahan sukan sedia ada agar tidak dibiarkan usang.

Beliau menjelaskan bahawa edisi pertama SUKSAR hanya terbuka untuk atlet-atlet baharu kategori umur bawah 20 tahun.

“Ini bukan untuk atlet-atlet elit remaja dan had umur bawah 20 tahun supaya atlet-atlet layak menyertai SUKMA 2018 di Perak,” katanya.

Mengenai cadangan tarikh mengadakan SUKSAR tahun depan, Dr Ong berkata kemungkinan temasya itu diadakan sama ada pada Oktober atau November.

Tambah beliau, perancangan temasya SUKSAR adalah selaras dengan sasaran Sarawak menjadi ‘kuasa besar sukan’ di Malaysia menjelang 2030.

“Pembangunan sukan merupakan antara enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) untuk Sarawak, justeru fokus pembangunan sukan adalah melalui akar umbi bagi atlet-atlet dan jurulatih,” katanya.

Dr Ong juga memberitahu satu lagi mesyuarat akan diadakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina nanti untuk menjelaskan kertas cadangan ini kepada Menteri belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin dan Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

 

Advertisement