Anda di sini

‘Bouncer’ didakwa bunuh remaja

Advertisement

Berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan

KOTA KINABALU: Seorang ‘bouncer’ atau pengawal sebuah pusat hiburan di sini, dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam terhadap pertuduhan membunuh seorang remaja lebih seminggu lalu.

Mohd Azmin Lidin, 28, dari Kampung Cenderamata Likas di sini dituduh membunuh Yaacob Nasran, 18, dekat Siam Thai Bar, Jalan Asia City di sini antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi pada 15 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 7 Feb depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp P. Nathan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rakhbir Singh.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita warga emas, Chin Su Chin, 67, didakwa membunuh rakannya, Ngur Lim Kiau, 64.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kepayan Ridge dekat sini kira-kira jam 3 petang pada 23 Sept lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Kakayun turut menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement