Anda di sini

24,000 kanak-kanak menjalani pembedahan pediatrik sejak 1992 hingga sekarang: Dr Tan

Advertisement

­­ KOTA KINABALU: Seramai 24, 000 pesakit kanak-kanak direkodkan di negeri ini yang sudah menjalani pembedahan pediatrik sejak 1992 hinggalah sekarang.

Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Dr Tan Bee Hwai berkata, meskipun begitu, hanya lebih 200 sahaja masih hadir semula memberi maklum balas perkembangan kesihatan mereka.

“Setiap tahun kami akan bertemu kembali dengan pesakit (kanak-kanak) melalui program tahunan yang kami adakan dan sebahagian daripada kanak-kanak yang terlibat, kini membesar secara sihat.

“Kami anggarkan 500 kanak-kanak yang mendapat rawatan pembedahan akan datang, namun hanya sebahagian sahaja memberi maklum balas datang pada majlis yang kami adakan dalam Minggu Pembedahan Pediatrik di salah sebuah hotel sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan KKMM dengan kerjasama Hospital Likas dan Yayasan Kebajikan Suria sempena Kempen ‘Safe Surgery for Children: Aware, Act, AND Save Children’, di sini kelmarin.

Tan berkata, selama mereka mengadakan majlis sedemikian, kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan begitu gembira dapat bertemu kembali dengan kakitangan hospital yang merawat mereka sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai kempen berkenaan, Ketua Jabatan Konsultan Kanan Bahagian Pembedahan Pediatrik Dr Shunmugan Rajah berkata, ia terbahagi kepada beberapa acara seperti pembedahan, forum umum, kempen derma darah dan majlis meraikan kejayaan operasi pembedahan.

Katanya, pada sesi operasi pembedahan, kanak-kanak yang akan menerima rawatan adalah berumur 1 hingga 12 tahun yang bukan hanya dilaksanakan di sekitar bandar raya, tetapi turut melibatkan seluruh kawasan di Sabah.

“Di samping menjalankan pembedahan kepada bayi terlibat, kami juga memberi forum untuk menerangkan kepada ibu bapa supaya tidak khuatir membawa anak mereka menjalani pembedahan untuk mereka membesar dengan normal… inilah objektif program seumpama ini,” jelasnya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sentiasa memberi sokongan padu dalam usaha murni ini bahkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan korporat turut sama menyalurkan bantuan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Ini akan memberi motivasi kepada anak-anak kita bahawa betapa ramai orang di luar sana memerlukan mereka sebagai pemimpin masa depan sekli gus memberi kegembiraan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria (YKS) Datuk Raya Erom berkata, pihaknya sememangnya memberi sokongan penuh setiap tahun dalam program sedemikian dan ianya sudah mencecah lebih 10 tahun.

Katanya, selain memberi bantuan, YKS juga memberi sokongan dari segi moral kepada ibu bapa kanak-kanak istimewa itu sekali gus memberikan senyuman kegembiraan kepada mereka.

“Kali ini kita berkesempatan bergabung tenaga bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjayakan program sebegini untuk memberi perkhidmatan kepada anak-anak yang mengalami masalah alat kelamin.

“Walaupun proses pembedahan ini bukan sehari dilaksanakan, kita percaya bahawa pakar perubatan yang diberi tanggungjawab mampu memberi khidmat terbaik… dan alhamdulillah, ramai anak-anak yang terlibat kini dalam keadaan baik walaupun masa untuk sembuh adalah lama,” katanya.

Raya juga berharap agar usaha murni berkenaan dapat diteruskan bagi memberi sumbangan kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

Terdahulu, seramai 15 pesakit kanak-kanak menerima bantuan pada program berkenaan.

Advertisement