Anda di sini

Skuad Sarawak optimis dapat lepasi kelayakan Liga Futsal Kebangsaan

Advertisement
 Poh (lima kiri) menyerahkan jersi kepada Saiful sebagai simbolik tajaan dari LSC dan Starsport kepada skuad futsal Sarawak sambil disaksikan Razali (enam kiri), Posa (tujuh kiri), pegawai FAS, jurulatih dan pemain.

TAJAAN: Poh (lima kiri) menyerahkan jersi kepada Saiful sebagai simbolik tajaan dari LSC dan Starsport kepada skuad futsal Sarawak sambil disaksikan Razali (enam kiri), Posa (tujuh kiri), pegawai FAS, jurulatih dan pemain.

KUCHING: Skuad futsal Sarawak optimis dapat melepasi Pusingan Kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Disember 2016 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam Selangor.

Penolong Pengurus, Saiful Bahri Ahmad Adibi berkata berdasarkan persiapan rapi skuad itu sebelum ini, beliau yakin Sarawak mampu memburu salah satu dari dua slot untuk bersaing dalam liga berprestij tersebut.

“Kita meletakkan sasaran untuk muncul juara dalam siri kelayakan ini,” jelas Saiful ketika ditemui semasa majlis penyerahan tajaan dari Lea Sports Centre (LSC) dan Starsport semalam.

Mengulas mengenai persiapan, Saiful berkata pihaknya telah menghantar skuad menyertai pertandingan ‘street soccer’ di bawah International TAFISA Games 2016 di Jakarta, Indonesia pada Oktober lepas.

Selain itu, pemilihan pemain juga dibuat secara terperinci dengan memanggil beberapa pemain bermain dalam Liga IPT Malaysia, Siri Universiti di Indonesia dan yang sedang menjalani latihan bersama skuad negara.

“Ini bukan skuad yang ditubuh seminggu dua, sebaliknya telah ditubuh sebelum siri kelayakan ini.

“Sasaran utama kita untuk menempatkan Sarawak di Liga Futsal Kebangsaan pada tahun depan,” tegasnya lagi.

Pemain-pemain yang akan mewakili Sarawak ialah Mohammad Alim Mohamad Mahmud, Ahmad Adziemy Bohan, Mohd Khairolzalin Sahari, Mohamad Asrulah Drahman, Muhamad Erzuan Gapar, Mohd Faizal Zamri, Wan Muhammad Nur Azhar Wan Ahmad, Muhammad Nizam Zubir, Azlan Shah Tahir, Mohd Dzohrill Hafeeq Ismawi, Mohd Izzmal Aizza Tuah, Mohammad Azierul Joss, Awang Ahmad Alauddin Awang Nordin dan Remenor Pit.

Skuad itu diketuai Hamzah Brahim sebagai pengurus manakala Ahmad Media Sharkawi bertindak selaku jurulatih.

Selain Sarawak, siri kelayakan itu turut disertai sembilan peserta lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, ATM, Pulau Pinang MPPP, KL Petaling Putra, KL City FC, Pahang Kuantan Rangers FC dan Sabah Quilmes FC.

Hadir sama semalam dua Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Dato Posa Majais, Razali Dolhan dan Pengurus Operasi Kanan LSC Poh Siok Hoon.

LSC dan Starsport akan menaja pakaian rasmi semasa perlawanan dan latihan kepada skuad futsal Sarawak.

Advertisement