Anda di sini

Status Facebook kenyataan retorik bukan literal

Advertisement

Bagaimanapun pemilik akaun ‘Vernon Aji Kedit’ mengakui perkataan yang digunakannya terlalu kasar

// Oleh Patricia Gari //

 Vernon (kiri) ketika bercakap pada sidang media di pejabat PKR Sarawak yang turut dihadiri See (kanan).

PENJELASAN: Vernon (kiri) ketika bercakap pada sidang media di pejabat PKR Sarawak yang turut dihadiri See (kanan).

KUCHING: Pemilik akaun Facebook ‘Vernon Aji Kedit’ berkata status yang dimuat naik dalam akaunnya baru-baru ini hanyalah kenyataan retorik bukan literal.

Vernon Kedit, nama sebenar pemilik akaun itu bagaimanapun mengakui perkataan-perkataan digunakannya terlalu kasar sehingga menyebabkan ada pihak yang berasa kurang selesa.

“Kenyataan yang saya muat naik itu seharusnya dibaca dalam konteks retorik, maknanya ia adalah kenyataan politik.

“Mungkin perkataan ‘kerajaan itu pembunuh’ sesuatu yang terlalu kasar dan saya tidak seharusnya menggunakan perkataan-perkataan itu,” katanya pada sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak di sini semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi PKR Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How dan Ketua Wanita PKR Sarawak Hanim Moksen.

Vernon yang juga ketua publisiti PKR Sarawak dan ketua PKR Cabang Betong memberitahu bahawa beliau telah menghubungi polis dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching petang semalam.

“Saya telah berhubung dengan polis pagi tadi (semalam) dan polis telah menetapkan jam 5 petang ini (semalam) untuk mengambil keterangan daripada saya di One Stop Centre IPD Kuching.

“Saya akan ke sana bersama YB (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang) See Chee How,” katanya sambil menambah, beliau tahu individu yang membuat laporan terhadapnya namun enggan mengulas lanjut.

Vernon menerusi akaun Facebook ‘Dia bukan penjenayah/pembunuh yang sebenar. Pencuri dan pembunuh yang sebenar adalah kerajaan/YB/Menteri yang memberinya lesen Provisional Lease di atas Tanah Dayak NCR’.

Beliau berkata demikian ekoran penangkapan dalang utama iaitu Datuk Stephen Lee Chee Kiang atas tuduhan bersubahat membunuh pemimpin PKR Miri Bill Kayong.

Sementara itu See berkata pihaknya tidak akan menghalang polis mengambil keterangan daripada Vernon dan akan memberi kerjasama sebaiknya.

“Saya pasti polis mempunyai sebab munasabah untuk memanggil dan mengambil keterangan daripada Vernon kerana mereka hanya melaksanakan tugas selepas ada pihak yang membuat laporan (polis),” ujarnya.

Advertisement