Anda di sini

Penggunaan bahan terlarang di Limbang membimbangkan

Advertisement

Penggunaannya merosakkan otak, keseimbangan pemikiran sehingga mencetus keganasan luar batasan

// Oleh Mastura Ismail //

 Dr Zufar (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr Abdul Rahman sambil disaksikan Awang Ibrahim (kiri), Jamalie dan Hamidah (tiga kanan) semalam.

TANGANI BERSAMA: Dr Zufar (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr Abdul Rahman sambil disaksikan Awang Ibrahim (kiri), Jamalie dan Hamidah (tiga kanan) semalam.

LIMBANG: Penggunaan bahan terlarang terutama dadah jenis syabu dalam kalangan belia terutama di bahagian Limbang sangat membimbangkan berikutan ia memberi kesan kerosakan terhadap otak manusia.

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail berkata penggunaan syabu, gam dan bahan terlarang lain membawa kerosakan terhadap otak dan keseimbangan pemikiran sehingga mencetus keganasan luar batasan seperti berlaku di Lawas baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, kedudukan Limbang berdekatan negara jiran menjadi akses serta laluan masuk menyebabkan bahan terlarang itu mudah didapati di bahagian ini.

“Kerajaan amat serius dalam menangani masalah dan isu bahan terlarang terutama syabu yang kini amat membimbangkan dalam kalangan belia di bahagian Limbang,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian pada Wacana Bestari, Penyalahgunaan Bahan Terlarang anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Kementerian Kebajikan,Wanita dan Kesejahteraan Komuniti (KKWKK) Sarawak di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Eksekutif MPS, KKWKK Sarawak Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Limbang Jamalie Busri, Timbalan Pegawai Daerah Hamidah Halpi dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Awang Ibrahim Ahmat.

Jelasnya, masalah itu perlu disekat dan ditangani di peringkat awal melalui peranan aktif masyarakat sejajar dengan pepatah mencegah lebih baik daripada merawati sebelum ia bertambah parah.

Dr Abdul Rahman  yang juga ADUN Bukit Kota Limbang berkata, penggunaan bahan terlarang terutama syabu boleh merosakkan masa depan generasi muda yang menjadi aset penting dan kepimpinan negara pada masa depan.

“Masalah dadah ini biasanya mempengaruhi belia produktif. Ini boleh membawa kerugian besar kepada negara, diri dan boleh melibatkan orang sekeliling seperti ahli keluarga, saudara-mara, jiran terdekat dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Masyarakat tegasnya, tidak boleh menyembunyikan masalah tersebut sebaliknya bersama-sama kerajaan menanganinya secara serius.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah putus asa menangani masalah tersebut termasuk cuba membantu penagih dadah memulih ketagihan dengan memasukkan mereka ke pusat pemulihan dadah.

“Walaupun proses untuk memulihkan mereka yang terlibat dadah adalah sukar, tetapi kita berusaha membantu mereka,” jelasnya.

Selain masyarakat, agensi penguatkuasaan, polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ujarnya, perlu memain peranan aktif membendung masalah itu daripada terus merebak.

Di samping bahan terlarang katanya, pelbagai isu lain merangkumi keganasan rumah tangga, kehamilan remaja dan masalah sosial akan menjadi tumpuan kerajaan untuk membendungnya secara berterusan.

Advertisement