Anda di sini

Masyarakat digesa menyokong Pesta Makanan 1Malaysia

Advertisement
 (dari kanan) Hu, Tiong dan Hii melawat sebuah gerai menjual makanan di Pesta Makanan 1Malaysia.

LAWAT: (dari kanan) Hu, Tiong dan Hii melawat sebuah gerai menjual makanan di Pesta Makanan 1Malaysia.

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King menggesa masyarakat setempat memberikan sokongan kepada Pesta Makanan 1Malaysia yang kini sedang berlangsung di Dataran Bandar Sibu Fasa II sehingga 1 Januari 2017.

Berucap merasmikan pesta itu malam Selasa lepas, Tiong menyeru orang ramai merebut peluang merasai pelbagai jenis hidangan yang dijual di pesta makanan tahunan tersebut.

“Tidak dinafikan makanan jalanan di Malaysia merupakan yang terbaik di wilayah ini,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong itu juga melahirkan rasa bangga kerana Sibu tidak pernah gagal menganjurkan pelbagai pesta dan sambutan menjelang hujung tahun.

Ini termasuk penganjuran Borneo Talent Awards, Sibu Big Bike Week, pertandingan pokok Krismas, perarakan Krismas dan sebagainya.

“Ini menjadikan Dataran Bandar Sibu sebagai pusat sambutan atau pesta di mana masyarakat setempat berkumpul dan bersama-sama memeriahkan sambutan.

Menurut Tiong, semua sambutan atau pesta itu tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak, khususnya penduduk setempat.

“Mungkin ramai daripada kita tidak ambil peduli terhadap sambutan atau pesta ini yang diadakan setiap tahun.

“Namun apa yang lebih penting, pesta atau sambutan ini telah berjaya merapatkan hubungan baik antara pelbagai kaum di sini,” jelasnya.

Turut hadir Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) Hu Yu Siong dan Presiden Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu Kong Hian Khim.

Pesta Makanan 1Malaysia dianjurkan oleh SCCCI dengan kerjasama MPS serta berlansung dari 6 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 dari jam 5 petang hingga 11 malam.

Advertisement