Anda di sini

Jambatan konkrit kelima dijangka kurangkan kesesakan di Seberang Hilir

Advertisement
 Jambatan Kampung Sourabaya Hilir kini telah siap dan dibuka untuk kemudahan penduduk kampung.

KURANGKAN KESESAKAN: Jambatan Kampung Sourabaya Hilir kini telah siap dan dibuka untuk kemudahan penduduk kampung.

KUCHING: Impian penduduk kampung di Seberang Hilir untuk melihat masalah kesesakan lalu lintas di kawasan kampung itu berkurangan kini tercapai dengan siapnya pembinaan jambatan konkrit kelima di Kampung Sourabaya Hilir di sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, pembinaan jambatan konkrit tersebut adalah bagi menggantikan jambatan Bailey dari Kampung Boyan hingga ke Kampung Bintawa Hilir yang telah berusia lebih 40 tahun.

Malah jelasnya, sebelum ini penduduk di kawasan terbabit akan berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk terutama pada sambutan Hari Raya Aidilfitri selain pada waktu puncak.

“Dengan terbinanya jambatan kelima (Kampung Sourabaya Hilir) itu, masalah kesesakan yang dialami penduduk selama ini akan berkurangan.

“Pada masa sama, dengan pembinaan jambatan itu juga maka lengkaplah pembinaan lima jambatan konkrit baharu bagi menggantikan jambatan-jambatan Bailey yang uzur di sepanjang Kampung Seberang Hilir,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, kelmarin.

Selain Kampung Sourabaya Hilir, jambatan konkrit lain yang turut dibina di Kampung Pulo Hilir/Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir juga hasil usaha Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi).

Dr Abdul Rahman berkata infrastruktur tersebut mampu melancarkan laluan trafik dan memberi keselesaan kepada masyarakat kampung, khasnya.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Sebelum ini, ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jambatan-jambatan itu, Dr Abdul Rahman mendedahkan bahawa kos pembinaan semula kesemua empat jambatan itu menelan belanja sebanyak RM6.9 juta.

Sebanyak enam jambatan kecil lama di sepanjang 4.5 kilometer (km) dari Kampung Boyan hingga ke Kampung Bintawa Hilir telah berusia lebih 40 tahun dan sudah tiba masanya untuk digantikan dengan jambatan baharu, ujarnya.

“Daripada jumlah itu, dua daripadanya telah digantikan iaitu Jambatan Kampung Gersik yang siap pada 2012 dan Jambatan Kampung Panglima Seman Lama/Kampung Semarang yang pertamanya siap pada 1995,” jelasnya.

Advertisement