Anda di sini

Bersama jaga Kuching, jangan harap PBT sahaja

Advertisement

Ia bagi membolehkan Kuching terus jadi destinasi pelancongan, kekal sebagai Bandar Raya Perpaduan: Dr Sim

// Oleh Jessica Jawing //

 Dr Sim menunjukkan hadiah Krismas yang disampaikan Santa Claus sebagai simbolik Majlis Sambutan Pra-Krismas anjuran MBKS. Turut kelihatan Chan (kanan).

HADIAH KRISMAS: Dr Sim menunjukkan hadiah Krismas yang disampaikan Santa Claus sebagai simbolik Majlis Sambutan Pra-Krismas anjuran MBKS. Turut kelihatan Chan (kanan).

KUCHING: Warga bandar raya ini perlu melibatkan diri dalam menjaga Kuching dan bukan hanya  menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertanggungjawab.

Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bagi memboleh-kan Kuching terus menjadi destinasi pelancongan serta kekal sebagai Bandar Raya Perpaduan, warganya tidak harus hanya menjadi pemerhati sahaja.

“Warga Kuching khasnya perlu terlibat sama dalam menjaga bandar raya ini dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan).

“Kita tidak mahu masya-rakat hanya menuding jari kepada pihak majlis kerana untuk menjaga atau memain tanggungjawab menjadikan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan, memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Pra-Krismas anjuran MBKS yang dihadiri Datuk Bandarnya Datuk James Chan di lobi MBKS di sini, semalam.

Dr Sim berkata, dengan slogan ‘My Kuching’ ia menggambarkan bahawa bandar raya ini milik semua dan bukan milik MBKS sahaja atau wakil rakyat sahaja kerana itu ia menjadi tanggungjawab semua.

“MBKS berada di sini untuk rakyat dan amat pen-ting kepada rakyat untuk be-kerjasama jika kita sayangkan bandar raya ini,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau turut menasihati PBT di seluruh negeri ini agar saling bekerjasama bagi memboleh-kan perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih baik.

Katanya semua PBT perlu lebih bersedia menghadapi cabaran untuk mencapai kejayaan serta meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Kita perlu memikirkan bagaimana setiap daripada kita dapat bekerjasama termasuk semua pihak berkuasa tempatan untuk terus melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata Dr Sim.

Sementara itu Chan dalam ucapannya berharap semua kakitangan MBKS dapat bersatu hati dan bekerjasama bagi menjadikan bandar raya Kuching menjadi destinasi menarik kepada pelawat yang datang.

Tambahan katanya, Kuching telah diiktiraf sebagai bandar raya kelapan daripada 10 destinasi pelancongan pada 2017.

“Dengan ini kita perlu berusaha dan mempertingkatkan lagi kemudahan kita selain kerjasama daripada masyarakat setempat.

“Kita berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Dr Sim kerana di bawah kepimpinan mereka kita kini berjaya meningkatkan kemudahan serta prestasi lebih baik,” katanya.

MBKS katanya, berikrar akan terus memberi perkhidmatan dengan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat dan tidak hanya bercakap kosong.

Mengenai sambutan pra-Krismas berkenaan Chan berkata, ia menjadi platform kepada orang awam dan kakitangan MBKS untuk bergaul dan menyambut perayaan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Pra-Krismas yang diadakan pada jam 10 pagi itu dihadiri lebih 600 orang awam dan kakitangan MBKS yang bersama-sama menyambut Krismas dengan dihiburkan oleh kumpulan koir serta hidangan makanan.

Advertisement