Anda di sini

Belia Kampung Tanjung Bundong berjaya menganjurkan pertandingan bola sepak

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Belia Kampung Tanjung Bundong dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia berjaya menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Tertutup Junior dan Veteran Sembilan Sebelah dan 14 Tahun ke Bawah, baru-baru ini.

Menurut Pengerusi K1M Kampung Tanjung Bundong Sitam Amin, pertandingan itu diadakan bagi mencungkil bakat muda selain menggalakkan amalan bersukan dalam kalangan belia kampung.

Pada masa sama, beliau memberitahu pertandingan itu juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.

Malah, katanya lagi, program seumpama itu juga dapat menyemai minat dalam kalangan anak muda terhadap sukan bola sepak.

Pertandingan yang diadakan pada 10 dan 11 Disember lalu itu berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kota Samarahan Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu dan disertai 14 pasukan.

Bagi kategori Junior dan Veteran, johan dimenangi DKJ FC, manakala naib johan dimenangi Supermoon FC dan tempat ketiga bersama masing-masing dimenangi Bujang Senang dan Pamoga FC.

Sementara itu, kategori 14 Tahun ke Bawah johan dimenangi pasukan JR FC, manakala naib johan dimenangi VT FC dan tempat ketiga bersama dimenangi Tiger Boys dan Semi FC.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang, Awang Safri.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Tanjung Bundong Saraee Konen, Ketua Ranting PBB Muara Tuang Kampung Tanjung Bundong Wan Ahun Wan Seman dan tetamu kehormat lain.

Advertisement