Anda di sini

Projek bekalan air bersih bakal dilaksana

Advertisement
 Manyin disambut dengan adat tradisional sebelum berjalan atas jambatan Sungai Merau. Turut kelihatan, Martin.

TRADISI: Manyin disambut dengan adat tradisional sebelum berjalan atas jambatan Sungai Merau. Turut kelihatan, Martin.

Pelaksanaan projek di Mantung Merau dan Mongkos dijangka bermula tahun depan

SERIAN: Projek bekalan air bersih bagi kegunaan lebih 50 kampung sepanjang jalan Mantung Merau dan jalan Mongkos dijangka mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata beliau telah dimaklumkan projek itu telah ditender, bermakna ia kian hampir untuk pelaksanan.

“Saya harap pelaksanaan projek ini dimulakan pada tahun hadapan. Ini adalah untuk membolehkan dalam tempoh beberapa tahun lagi, penduduk di kampung-kampung ini boleh menikmati bekalan air bersih dan tidak lagi bergantung dengan sistem bekalan air graviti,” katanya pada majlis bersama rakyat selepas pelancaran jambatan Sungai Merau di Kampung Mantung Merau di sini, malam kelmarin.

Projek bekalan air bersih luar bandar Mantung Merau/Mongkos dilancarkan pada 3 Mei lepas oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Yaakob di Kampung Bunan

Manyin yang menghadiri majlis tersebut ketika masih Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan berkata projek itu dijangka menelan RM114 juta oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Projek tersebut bagaimanapun ditender dengan kos RM104 juta, katanya.

Kira-kira 40 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup dan 13 kampung dalam kawasan DUN Tebedu, yang diwakili Manyin, akan menikmati manfaat selepas projek siap.

Dalam perkembangan lain, Manyin menggalakkan penduduk kampung bercucuk tanam di atas tanah masing-masing sebagai satu cara untuk menambah baik sosioekonomi mereka.

“Mungkin anda mempunyai tanah yang luas tetapi jangan biarkan ia kosong. Tanamlah ia dengan sayur-sayuran atau buah-buahan agar dapat dijual.

“Timbalan Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap pertanian, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengumum akan mewujudkan pusat bagi orang ramai menjual hasil tani segar yang merupakan satu inisiatif terbaik. Kita perlu memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, jambatan Sungai Merau sepanjang 300 meter yang dirasmikan pembukaan oleh Manyin dengan kos RM2.2 juta merupakan projek dilaksanakan ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan.

Hadir sama pada majlis itu, ADUN Kedup Martin Ben, Setiausaha Politik Ketua Menteri John David Nyauh, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian Dr Simon Sinang dan Pengerusi Persatuan Bidayuh Braang Padawan Clif Mengud.

Advertisement