Anda di sini

Jong Ho, Mark pikat hati David

Advertisement

Namun keputusan belum dibuat kerana beberapa pemain import lain turut sertai latihan

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

c_pc0018369

KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak, David Usop mengakui tertarik dengan mutu persembahan dua calon import yang menyertai sesi pemilihan skuad Ngap Sayot musim 2017.

Prestasi Lee Jong Ho, 24, dari Korea Selatan dan penyerang skuad kebangsaan Filipina, Mark Andrew Hartman ternyata memikat hati pengendali Sarawak itu.

Bagaimanapun, David menjelaskan bahawa keputusan belum dibuat setakat ini memandangkan masih ada beberapa pemain import asing akan datang menyertai kem latihan Sarawak dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu terburuburu memilih pemain, jika ada calon yang lebih bagus daripada mereka (Jong Ho dan Mark) kita masih mempunyai pilihan lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang C, di sini semalam.

Sejak latihan dimulakan minggu lalu, sembilan calon import asing menyertai kem pemilihan untuk mencuba nasib.

Mengulas lanjut, David berkata pihaknya masih mempunyai baki satu slot untuk pemain import asing jika Jong Ho dan Mark menyarung jersi Sarawak sambil tonggak pertahanan tengah, Teah Dennis kini sah bersama skuad Ngap Sayot.

“Tetapi, perkara ini belum ada keputusan muktamad kerana kita masih menunggu beberapa calon pemain import lain datang menjalani latihan bersama Sarawak.

“Kita tidak mahu tersilap langkah dalam memilih pemain- pemain import, takkan hendak tukar pemain setiap kali jendela perpindahan dibuka disebabkan mereka gagal beraksi cemerlang,” jelas David.

Justeru, barisan kejurulatihan dan panel pemilihan pemain sangat berhati-hati dalam menilai calon malah Sarawak kini dalam pencarian penyerang yang boleh melakukan jaringan bagi memantapkan jentera serangan musim depan.

Apa yang pasti, Sarawak masih dalam proses pembinaan pasukan yang kini dibarisi gandingan pemainpemain senior dan pemain muda tempatan.

“Barisan muda itu memerlukan lebih banyak pendedahan untuk beraksi bersama tonggak utama bagi meningkatkan keserasian dalam pasukan kita,” katanya.

Advertisement