Anda di sini

Tujuh lelaki ditahan kerana positif dadah

Advertisement
 Pegawai JPJ menenangkan seorang remaja bawah umur yang menangis apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Astana.

DITAHAN: Pegawai JPJ menenangkan seorang remaja bawah umur yang menangis apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Astana.

 Devan (dua kanan) mendedahkan butiran tangkapan kepada media selepas operasi bersepadu dengan pelbagai agensi tamat malam kelmarin. Turut kelihatan, Marhanis (kanan) dan Edwin (dua kiri).

OPS CEGAH: Devan (dua kanan) mendedahkan butiran tangkapan kepada media selepas operasi bersepadu dengan pelbagai agensi tamat malam kelmarin. Turut kelihatan, Marhanis (kanan) dan Edwin (dua kiri).

Mereka antara 32 yang menjalani pemeriksaan saringan dalam Ops Cegah AADK

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seramai tujuh lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Petra Jaya, malam kelmarin (Sabtu).

Operasi yang bermula dari jam 9.30 malam hingga 11 malam itu disertai 60 anggota termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kesihatan Bahagian Kuching, ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Astana dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penolong Pengarah Rawatan AADK Negeri Sarawak Devan Arup berkata, tujuh individu itu adalah antara 32 yang menjalani pemeriksaan saringan dalam operasi bersepadu tersebut.

“Hasil daripada saringan air kencing, kita dapati tujuh lelaki ini positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Ketua Unit Penguatkuasaan JPJ Sarawak Marhanis Nasren dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kuching Edwin Rommel Anthony Dass.

Devan berkata, kesemua individu yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di bawah Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 8(3)(b) Akta Penagih Dadah 1983.

Ketika ditanya mengenai pemilihan lokasi, beliau memberitahu bahawa Petra Jaya dipilih berdasarkan data-data yang diperolehi berkenaan penggunaan dadah di kawasan tersebut.

Devan pada masa sama turut menyeru masyarakat untuk tampil ke hadapan sekiranya mengesyaki ahli keluarga atau rakan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, agensi itu menawarkan rawatan awal menerusi Klinik Cure & Care 1Malaysia, tanpa melalui proses perundangan.

“Kita mempunyai pusat C&C di Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri dan Limbang dalam memperluaskan lagi khidmat membantu individu yang terlibat dengan dadah,” katanya.

Operasi itu turut menyaksikan pasukan JPJ mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Astana dan Jalan Bako.

Suspek-suspek yang telah dikenal pasti dibawa ke ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja untuk menjalani pemeriksaan air kencing oleh AADK dan ujian sampel darah HIV oleh Jabatan Kesihatan.

Mengenai sekatan jalan JPJ, Marhanis berkata sebanyak 52 saman telah dikeluarkan.

“Antara kesalahan dicatatkan adalah cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu serta tamat tempoh,” katanya.

Advertisement