Anda di sini

Lelaki ditahan selepas dipercayai cederakan rakan sekerja

Advertisement

MIRI: Seorang pekerja bengkel cuci kereta disyaki dengan sengaja mencederakan seorang rakan sekerja berjaya diberkas polis kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun dari Long Banyok, Baram telah ditangkap sekitar jam 11.48 pagi berikutan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Dalam aduannya, mangsa yang berusia 24 tahun dari Taman Tunku di sini mendakwa sekitar jam 1 petang, 29 November lalu, ketika sedang bekerja di sebuah bengkel cuci kereta, tiba-tiba seorang rakan sekerja telah memukulnya menggunakan sebatang kayu di bahagian paha.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang besi di kepala tanpa diketahui sebabnya.

Akibatnya, mangsa mengalami kesakitan dan kecederaan di bahagian paha kiri dan kepala. Pengadu kemudian pergi ke Hospital Miri dan diberikan rawatan pesakit luar dengan menerima enam jahitan di kepala.

Bertindak atas maklumat diterima, polis telah menangkap suspek dan merampas sebatang besi ‘stainless steel’ yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa bagi dijadikan barang kes.

Pihak polis ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat salah faham di mana sebelum kejadian, suspek ada bertanyakan sesuatu kepada mangsa namun suspek beranggapan jawapan yang diberikan mangsa seolah-olah memperlekehkannya.

Advertisement