Anda di sini

Malaysia sasar ganda pertumbuhan e-Dagang kepada 20.8% menjelang 2020

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar untuk menggandakan pertumbuhan tahunan e-Dagang kepada 20.8 peratus menjelang 2020 daripada 10.8 peratus pada 2016, disokong oleh Pelan Hala Tuju Strategik eDagang Kebangsaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata mengikut pelan induk berkenaan, perolehan e-Dagang dijangka menyumbang RM211 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020.

Buat masa ini, sumbangan e-Dagang kepada KDNK Malaysia pada 5.8 peratus, di belakang China (21 peratus daripada KDNK) dan Amerika Syarikat (35 peratus daripada KDNK), katanya kepada pemberita pada pelancaran awal pelan hala tuju berkenaan di sini semalam.

Beliau berkata pelan hala tuju itu yang menggariskan enam bidnag utama dan 11 program, melibatkan lima kementerian dan lapan agensi.

Enam bidang itu ialah mempercepatkan penerimaan penjual; meningkatkan penggunaan ePerolehan; menghapuskan halangan bukan tarif; penyusunan semula insentif ekonomi sedia ada; merangsang pelaburan strategik dan mempromosikan jenama negara.

Kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Manakala agensi yang terbabit pula ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Perangkaan, SME Corp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana mencatatkan pertumbuhan 32 peratus pada suku pertama 2016 berbanding tujuh peratus pada 2014.

“Pelan hala tuju ini bukan sahaja dipacu kerajaan tetapi juga disokong oleh sektor swasta dalam melaksanakan agenda,” katanya.

Hafsah berkata sektor swasta juga membolehkan kerajaan menerima maklum balas mengenai persekitaran e-Dagang yang teguh.

Program-program yang dirancang untuk pelan hala tuju itu bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi hab ‘eFulfillment’; memupuk sub-sektor terpilih dan menggalakkan mereka dalam pasaran global utama; dan meningkatkan kesedaran tentang e-Pembayaran, inovasi, faedah dan keselamatan. — Bernama

Advertisement