Anda di sini

61 individu ditangkap, wang RM14,550 dirampas dalam operasi banteras judi

Advertisement
 Antara kaki judi yang ditangkap kerana berjudi di tempat awam.

KAKI JUDI: Antara kaki judi yang ditangkap kerana berjudi di tempat awam.

KUCHING: Seramai 61 individu ditangkap dan wang tunai berjumlah RM14,550 dirampas dalam operasi membanteras perjudian yang dijalankan di 10 daerah sejak 21 November hingga kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, operasi itu menyaksikan 11 serbuan berkaitan penjualan loteri awam tanpa lesen, enam serbuan judi atas talian dan dua serbuan judi di tempat awam.

“Sebanyak 19 serbuan itu membawa kepada penangkapan 61 individu yang terlibat mempromosikan penjualan loteri tanpa lesen (4D haram), mengendalikan judi atas talian dan judi di tempat awam.

“Wang tunai berjumlah RM14,550 turut dirampas dalam serbuan-serbuan tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Daerah-daerah terbabit termasuk Padawan (empat serbuan), Kuching (tiga serbuan), Miri, Sibu dan Sri Aman (masing-masing dua serbuan) manakala Bintulu, Kapit, Lawas dan Serian (masing-masing satu serbuan).

Dev berkata, individu-individu ditangkap termasuk empat warga asing berumur dalam lingkungan 17 tahun hingga 72 tahun.

Serbuan loteri haram turut menyaksikan pelbagai barangan dirampas seperti mesin cetak mudah alih, telefon bimbit, kalkulator, lejar pertaruhan, slip dan wang tunai berjumlah RM8,342.

Manakala serbuan judi atas talian yang dijalankan di Padawan, Miri, Sri Aman, Lawas dan Limbang merekodkan rampasan 71 komputer, mesin slot dan mesin ikan yang digunakan untuk berjudi selain wang tunai berjumlah RM4,274.

Serbuan judi di tempat terbuka di Sibu dan Serian pula menyaksikan wang tunai berjumlah RM1,933 dan pelbagai peralatan judi dirampas.

Advertisement