Anda di sini

Empat beradik berjaya tamatkan pengajian Ijazah Sarjana

Advertisement

KOTA KINABALU: Apabila Disertasi yang dibuat hilang dalam sekelip mata dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka pada 8 Disember 2015, harapan untuk memperolehi segulung Ijazah Sarjana (Master) seakan-akan hancur berkecai.

Namun, atas dorongan antara satu sama lain, empat beradik yang bergelar warga pendidik yang berasal dari Kampung Laut Kinarut, Papar iaitu Baidi Baddiri, 42, Basni @ Basri, 39; Nazari, 34; dan Ranidah, 32; berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini bergraduasi bersama-sama sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-18, di sini kelmarin.

Baidi berkata, mereka berpegang kepada prinsip mereka bermula (pengajian) bersama maka, mereka akan akhirinya bersama-sama.

Atas sebab itu, apabila komputer riba yang menyimpan semua hasil kerja mereka musnah terbakar namun, berbekalkan semangat yang kuat untuk meneruskan perjuangan dan menamatkan pengajian bersama-sama membolehkan mereka berjaya menyediakan Disertasi baharu.

Baidi bertugas sebagai tenaga pengajar di Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), manakala Basni mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mansud, Kuala Penyu; Nazari pula bertugas di SK Tun Fuad Stephens, Kiulu Tamparuli dan Ranidah mengajar di SK ST Stephen, Kuala Penyu.

Baidi, yang juga anak ketiga dari lapan beradik ini berkata, semasa kebakaran itu berlaku, abang iparnya turut meninggal akibat terkejut dan insiden itu berlaku dua minggu sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Dalam kesibukan menguruskan kenduri arwah, mereka berusaha meluangkan masa untuk menyiapkan Disertasi serta belajar bagi menduduki peperiksaan yang tinggal dua minggu sahaja lagi.

Ditanya mengenai bagaimana timbul idea melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana bersama-sama, Baidi berkata, perancangan melanjutkan pengajian ini sudah lama difikirkan namun, disebabkan adik-adiknya mengajar di tempat berlainan sebelum ini, perancangan itu tertangguh.

Sehinggalah pada 2014 apabila semua adiknya mendapat penempatan mengajar di Sabah dan berdekatan antara satu sama lain maka, hasrat itu diteruskan.

“Saya memberikan idea bahawa sudah tiba masanya kami mempertingkat tahap pendidikan dengan mengambil Master. Pada saya, bila kami belajar bersama-sama segala proses pembelajaran akan jadi lebih mudah dan pengangkutan juga dapat dijimatkan.

“Dengan semangat dan dorongan adik-beradik yang kuat, kami sering memberi galakan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Canselor UMS di sini kelmarin.

Katanya, dalam setiap tugasan, mereka melakukannya bersama-sama kerana memang mereka berada dalam satu kelas serta satu kumpulan yang sama.

Walaupun bukan mudah tetapi, mereka saling berusaha dan membantu antara satu sama lain. Tidak dinafikan ada kalanya mereka berbeza pendapat tetapi, segalanya berjaya diatasi melalui perbincangan.

Berasal dari keluarga bukan berada menyebabkan mereka sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri masing-masing bagi menjadi teladan kepada anak-anak masing-masing.

Anak kepada pasangan Rose Mankakop, 58, dan arwah Baddiri Sahibul ini berkata, beliau berasa bangga kerana kini beliau bersama tiga adiknya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dan selepas ini, jika tiada halangan, mereka akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Baidi berkata, ibunya bertugas sebagai Pembantu Am dan bapanya yang meninggal pada 2001 hanya melakukan kerja-kerja kampung seperti bercucuk tanam dan juga nelayan.

Sementara itu, menyentuh tentang cabaran ditempuhi Basni berkata, apabila belajar bersama adik-beradik ini lebih mudah kerana semangat untuk maju bersama-sama itu membolehkan mereka lebih kuat biarpun ada kalanya ada antara mereka berasa putus asa.

“Kami tahu bukan mudah untuk bergerak bersama adik-beradik dan untuk capai ke tahap ini bukan senang tetapi, kami sama-sama berusaha untuk mencapai impian untuk memperoleh Ijazah Sarjana,” katanya.

Menurutnya, disebabkan mereka berempat mempunyai latar belakang yang sama iaitu guru dan tenaga pengajar maka, mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Jika ada kursus yang dirasakan sukar, mereka sama-sama mengatasi kesukaran itu.

Advertisement