Anda di sini

Kem Pemantapan Remaja Islam beri pendedahan ilmu keagamaan: Musa

Advertisement
 Musa melancarkan Kem Pemantapan Remaja Islam.

TUNTUT ILMU: Musa melancarkan Kem Pemantapan Remaja Islam.

SANDAKAN: Kem Pemantapan Remaja Islam memberi pendedahan kepada remaja Islam dengan pelbagai bidang ilmu keagamaan seterusnya melengkapkan diri dalam menghadapi cabaran dunia kehidupan sebenar.

“Dalam konteks ini, penghayatan akidah dan akhlak merupakan elemen penting bagi setiap individu muslim dalam konteks kehidupan beragama,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman ketika merasmikan Kem Pemantapan Remaja Islam di PKLN Bagai Budi Sandakan, kelmarin.

Beliau berkata akidah dan akhlak yang kukuh akan menjadi benteng dan pedoman bagi mendepani apa juga cabaran dan rintangan serta unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai-nilai agama.

“Kejayaan dalam kehidupan bukan sahaja diukur dengan segulung Ijazah semata-mata. Sebaliknya kebijaksanaaan dan kematangan kita dalam mengapliasikan ilmu yang diperolehi dengan berpaksikan akidah, keimanan dan sahsiah yang terpuji,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri sentiasa menggalakkan seminar seumpama ini diadakan dimana ia dapat memberi ilmu, menambah ilmu kepada anak-anak dan yang penting supaya mereka juga sentiasa dalam keadaan baik, penuh tanggungjawab untuk sama-sama membantu bukan sahaja kepada ibu bapa dan remaja lain tetapi juga untuk berbakti kepada bangsa, agama dan negara.

“Inilah yang saya sentiasa beri galakan dan sokongan, dan saya sentiasa mengalu-alukan apa juga usaha Jabatan Pendidikan, begitu juga pihak PLKN, dan juga semua pihak termasuklah NGO, yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan untuk memastikan remaja kita sentisa mendapat perhatian daripada kita semua,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa peka dan sedar akan kepentingan untuk memberi sokongan kepada remaja termasuklah remaja Islam supaya mereka boleh memantapkan diri, menambah ilmu dan meningkatkan jatidiri seperti yang diharapkan semua pihak.

“Sebab itulah dalam bajet yang saya bentangkan baru-baru ini, saya telah memperuntukkan bajet yang besar khusus untuk belia, semata-mata untuk membantu dengan mewujudkan dana supaya belia-belia kita mempunyai dana bagi mengadakan aktiviti-aktiviti, seminar, forum, yang boleh membawa manfaat kepada remaja kita termasuklah remaja Islam,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan dan diperluaskan lagi pada masa-masa akan datang terutama dalam cuti sekolah.

Ia katanya boleh dimanfaatkan oleh anak-anak remaja mengisi masa lapang dengan program yang bermanfaat.

“Saya berharap agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diamalkan dan dikongsikan dengan rakan-rakan remaja yang lain, dan para peserta boleh menjadi contoh remaja Islan yang terbaik dalam masyarakat,” katanya.

Advertisement