Anda di sini

Sektor minyak sawit Malaysia sambut ulang tahun ke-100

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia, antara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, akan menyambut ulang tahun ke-100 sektor berkenaan tahun depan dan mencatat pertumbuhan pesat dengan pengeluaran hampir dua kali ganda setiap 10 tahun sejak 1980.

Rekod kejayaan cemerlang negara membekalkan minyak sayuran berkualiti kepada pengguna di seluruh dunia pada harga berpatutan telah membantu mengurangkan kemiskinan.

Sejak beberapa dekad lalu, terutama sejak 1980 sehingga hari ini, Malaysia telah memberi sumbangan besar kepada industri tersebut dan ia berterusan sehinga sekarang.

Bagaimanapun, banyak perubahan diperlukan industri berkenaan bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.

Dorab Mistry, seorang penganalisis industri terkemuka di Godrej International Ltd, mengakui minyak sawit negara ini sebagai ‘permata di mahkota’.

Menurutnya, Malaysia telah melakukan yang terbaik dari segi meningkatkan pendapatan eksport dan masih kekal sebagai pengeluar ‘Nombor Satu’.

“Selama 90 tahun, anda bersendirian. Anda (Malaysia) adalah pengeluar nombor satu ketika anda menjalankan semua pembiakan tanaman itu.

“Kini anda dicabar Indonesia dari setiap penjuru. Oleh itu ketika Malaysia menyambut 100 tahun, ia perlu mendedikasi semula dirinya agar benar-benar dapat menghadapi pesaing secara berdepan.

“Pada masa sama, Malaysia mesti memastikan pasaran yang dimiliki dan pasaran baharu yang anda bangunkan, berjalan mengikut rancangan,” kata Mistry kepada Bernama.

Bagaimanapun, kata Mistry, ketika industri minyak sawit di Malaysia berkembang pesat, buruh terus menjadi satu masalah dalam sektor ini, dan ia menjadi bertambah sukar untuk mendapat pekerja tambahan.

“Malaysia perlu melakukan sesuatu mengenai peraturan buruhnya kerana kekurangan buruh benar-benar menyusahkan syarikat perladangan anda.

“Dan ia menjadi cabaran paling besar yang dihadapi sektor minyak sawit negara ini berikutan pengurangan dalam buruh asing,” katanya.

Mistry berkata, beliau bimbang mengenai masalah kekurangan buruh yang melanda industri minyak sawit negara sejak beberapa tahun lepas.

“Bagaimanapun, di sebalik keadaan ini, tahniah kepada Malaysia kerana saya berpendapat jika terdapat contoh sebuah negara yang telah memelihara dan memupuk satu industri kepada kemakmuran, saya akan menjadikan Malaysia sebagai contoh yang baik.

“Saya berharap India boleh membuat sesuatu sebagaimana dilakukan Malaysia,” kata Mistry.

James Fry, Pengerusi Perundingan Komoditi LMC International yang mempunyai pandangan sama dengan Mistry berkata, kerajaan Malaysia perlu menangani masalah ini yang sudah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

Menurutnya, dalam Bidang Ekonomi Utama Negara, kerajaan telah mengurangkan pekerja asing seramai 110,000.

“Tidak mengapa jika anda memberitahu industri itu bagaimana mereka boleh beroperasi dengan pekerja yang kurang, tetapi anda sudah menyaksikan kesannya, anda mempunyai pusingan penuaian yang lebih panjang, kualiti lebih rendah dan ia menjejaskan hasil anda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH, Thomas Mielke berkata, Malaysia menjadi peneraju dalam penyelidikan minyak sawit dan makanan.

Menurutnya, minyak sawit telah mencapai kejayaan besar dalam penggunaan bukan sahaja di Asia tetapi juga benua Afrika serta Amerika Selatan dan Tengah.

“Terdapat peningkatan besar dalam import dan penggunaan minyak sawit di Eropah serta anggota Komanwel Negara-Negara Merdeka,” kata Mielke. — Bernama

Advertisement