Anda di sini

Royalti bauksit kurang RM18 juta sejak pelaksanaan moratorium

Advertisement

KUANTAN: Jumlah royalti daripada perlombongan bauksit yang diterima kerajaan negeri Pahang pada tahun ini berkurangan kira-kira RM18 juta sejak pelaksanaan tempoh moratorium bahan mineral itu bermula 15 Jan lalu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata royalti yang diterima sejak Januari hingga 31 Okt lalu ialah RM29.25 juta berbanding royalti keseluruhan RM47.8 juta pada tahun 2015.

“Sejak Januari (tempoh) moratorium dilaksanakan, sedikit sebanyak memberi kesan (kepada pendapatan kerajaan negeri) kerana bauksit menyumbang walaupun tidak begitu besar kepada (pendapatan) kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini semalam, semasa menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang bertanya jika pelaksanaan moratorium itu memberi impak kepada pendapatan negeri.

Adnan juga mengakui pelaksanaan moratorium yang telah beberapa kali dilanjutkan sebelum dijadualkan tamat pada 31 Dis ini banyak membantu mengatasi pencemaran di Kuantan yang berpunca daripada perlombongan bauksit.

Menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PAS-Beserah) berhubung kerosakan jalan raya akibat aktiviti pengangkutan bauksit ke Pelabuhan Kuantan yang boleh mendatangkan bahaya, beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya negeri untuk tindakan.

Berhubung dakwaan Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN-Tahan) bahawa pihak media memberikan laporan seolah-olah berlaku kemusnahan akibat perlombongan bauksit tidak terkawal, Adnan menyifatkan ‘perkara itu sebagai biasa’.

“Perkara yang elok jarang ditulis… jawapan balas daripada saya juga sering disiarkan ‘dengan kecil sahaja’.

“Tapi saya sendiri secara peribadi mengalu-alukan sebarang kritikan kerana hasil kritikan itu yang membolehkan kita sama-sama memperbaiki keadaan akibat perlombongan bauksit,” katanya. — Bernama

Advertisement