Anda di sini

Pelaburan RM6.3 juta tidak wujud

Advertisement

Peniaga didakwa dengan 105 pertuduhan kerana menipu seorang lelaki

IPOH: Seorang peniaga dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 105 pertuduhan menipu seorang lelaki mengenai pelaburan yang tidak wujud berjumlah RM6.3 juta pada tahun lalu.

Tertuduh N.Narendran, 36, mengaku tidak bersalah dan meminta kes itu dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Narendran didakwa memperdayakan Hafizul Abdul Hamid, 40, supaya mempercayai bahawa pesanan kerajaan negeri untuk pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini adalah tulen.

Tertuduh didakwa telah mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai daripada RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan di empat lokasi berbeza di Ipoh antara Mei hingga Disember 2015.

Narendran didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof mencadangkan agar mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Bernard Francis yang mewakili tertuduh pula memohon anak guamnya diikat jamin dengan amaun yang rendah kerana isterinya kini mengandung dan akan bersalin pada awal bulan depan.

Ikmal Hishan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM90,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Dis depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan. — Bernama

Advertisement