Anda di sini

Gerakan Merah gesa Dr M dan pembangkang disiasat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah) menggesa siasatan dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin pembangkang yang lain kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan pada perhimpunan haram di sini Sabtu lalu.

Presidennya Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata bekas perdana menteri itu bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Datuk S. Ambiga secara jelas mengeluarkan ucapan menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Mereka (Dr Mahathir serta pemimpin pembangkang) secara terang berucap dalam perhimpunan BERSIH 5.0 walaupun Ketua Polis Negara telah nyatakan perhimpunan itu haram.

“Mereka ini perlu ditahan dan disoal siasat mengikut undang-undang sedia ada dan kami harap kertas siasatan terhadap mereka segera dibuka,” katanya kepada Bernama selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pudu di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata penganjur BERSIH 5.0 juga perlu dikenakan tindakan kerana telah melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Terdapat warga asing yang terlibat dan ini jelas melangggar APA 2012, warga asing juga memberi ucapan secara terbuka.

“Mereka (warga asing) ini jelas memburukkan imej dan nama baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan yang memerintah,” katanya.

Seramai 20 pemimpin dan aktivis ditahan dalam tempoh dua hari sejak Jumaat hingga Sabtu lepas berhubung perhimpunan haram BERSIH 5.0 dan Baju Merah di ibu kota, Sabtu lalu. — Bernama

Advertisement