Anda di sini

PNB didik masyarakat luar bandar rancang kewangan

Advertisement
 Nancy ditemani Abdul Wahid (kanan) melawat gerai pameran yang dibuka pada Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad di Dewan Masyarakat Simunjan semalam.

RAMAH MESRA: Nancy ditemani Abdul Wahid (kanan) melawat gerai pameran yang dibuka pada Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad di Dewan Masyarakat Simunjan semalam.

Fiesta Labur PNB membuka minda masyarakat di Simunjan

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Permodalan Nasional Berhad (PNB) tampil turun padang membantu serta mendidik masyarakat di luar bandar merancang dan mengurus kewangan dengan baik menerusi program Fiesta Labur PNB yang diadakan di Dewan Mesra Simunjan semalam.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, menerusi program itu, ia dapat membantu membuka minda masyarakat tempatan tentang pentingnya merancang kewangan untuk masa depan.

“Lazimnya, pembangunan ekonomi di sesuatu tempat akan turut menjadikan masyarakatnya lebih cakna terhadap soal kewangan, maka saya melihat pembangunan di kawasan Simunjan ini juga dapat membuka minda masyarakat tempatan untuk lebih memikirkan masa depan, dan mula merancang kewangan untuk diri dan orang yang tersayang.

“Justeru, kehadiran PNB di Simunjan pada hari ini (semalam) diharap dapat menarik minat masyarakat di sini untuk mendapatkan ilmu pengurusan kewangan yang betul daripada pihak bertauliah seterusnya melanggan produk pelaburan yang ditawarkan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) Amanah Saham Nasional (ASN) dan produk-produk unit amanah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Fiesta Labur yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri PNB di Dewan Mesra Simunjan dekat sini semalam.

Abdul Wahid menjelaskan dengan pengetahuan yang betul, masyarakat dapat menghindarkan diri dan keluarga daripada terjebak dengan skim cepat kaya yang semakin berleluasa pada masa ini.

“Lazimnya, skim cepat kaya ‘menjanjikan’ pulangan tinggi yang tidak munasabah. Namun, apabila kita telah mempelajari mengenai hubung kait pulangan dengan risiko dan memahami perkara ini dengan sebaiknya kita dapat membuat keputusan pelaburan secara bijak dan berhemah,” tambahnya lagi.

Beliau memberitahu Fiesta Labur PNB yang julung kali dianjurkan itu merupakan program yang berkonsepkan ‘turun padang’ bagi mendekati masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

Katanya, PNB mengambil pendekatan itu kerana percaya interaksi secara langsung ataupun bersemuka dengan masyarakat merupakan kaedah paling berkesan untuk menyampaikan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan, sekali gus mendekatkan lagi masyarakat dengan produk pelaburan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PNB.

Malah menurutnya lagi Santai Labur PNB, yang merupakan program bual bicara dengan topik ‘Menyimpan itu Bagus, Melabur itu Bijak” yang disampaikan Pensyarah Kewangan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan turut disertai oleh selebriti tempatan, Melissa Francis.

Mengulas lanjut mengenai PNB, Abdul Wahid menjelaskan permodalan itu kini mempunyai 10 produk unit amanah yang mana terdapatnya produk dengan modal pelaburan serendah RM10 ataupun RM100 dan boleh disertai pelabur seawal usia 6 bulan (kecuali ASN 2 dan ASN 3 Imbang).

“Tidak keterlaluan jika saya katakan sesiapa sahaja boleh melabur bersama PNB dan ini juga sekali gus merubah persepsi masyarakat terhadap pelaburan, yang mana pada lazimnya dianggap untuk golongan berada sahaja,” ujarnya.

Pada masa sama beliau mendedahkan sepanjang tahun ini sahaja, PNB telah mengagihkan dividen dan bonus berjumlah RM3.56 bilion, manakala jumlah terkumpul pengagihan dividen dan bonus dari tahun 1981 hingga Oktober 2016 telah pun mencecah RM147.17 bilion.

Malah, tegasnya, PNB tidak pernah gagal dalam membayar pengagihan pendapatan kepada para pelaburnya, meskipun ketika suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan.

“Saya juga percaya, penganjuran program seperti fiesta pada hari ini dan lain-lain program ‘turun padang’ yang dijalankan seperti Seminar Pelaburan 360 Hari telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

“Ini telah dizahirkan menerusi prestasi dana unit amanah PNB, yang mana setakat 31 Oktober lalu telah mencecah 210.63 bilion unit dalam edaran, yang dimiliki oleh 12.86 juta pemegang unit (89.5 peratus Bumiputera, 10.5 peratus bukan Bumiputera) dan dalam masa sebulan sahaja, kita telah berjaya menjana lebih 1 bilion unit dalam edaran,” jelasnya lagi.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan unit dalam edaran ini, hampir 11 peratus merupakan unit pelabur Sarawak, yang menjadikan negeri ini berada di kedudukan yang ketiga.

“Ini adalah suatu pencapaian yang dapat dibanggakan. Saya yakin, jumlah penyertaan masyarakat Sarawak dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Mohammad Hussin, Ketua Pegawai Operasi ASNB Kamarul Baharin Mohd Daud dan tetamu kehormat lain.

Advertisement