Anda di sini

Bekalan minyak masak makin meningkat

Advertisement

SEPANG: Bekalan minyak masak di pasaran telah mula meningkat sejak minggu lepas dan dijangka pulih sepenuhnya minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata pihak pembekal minyak masak yang ditemuinya pada minggu lepas memberi jaminan akan mendapatkan bekalan daripada pengilang bagi menyelesaikan masalah kekurangan minyak masak terutama peket bersaiz satu kilogram di pasaran.

Menurutnya kementerian juga akan terus melaksanakan operasi di seluruh negara pada setiap hari bagi memastikan pembekal dan peruncit mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Dari minggu lepas bekalan sudah meningkat jadi tidak timbul lagi soal bekalan kurang. Minggu ini sepatutnya kembali pulih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) 2016, di Kompleks Pendidikan Yakin, di sini semalam.

Bemula 1 Nov lepas, harga minyak masak di dalam botol dijual mengikut harga ditetapkan oleh pengeluar manakala harga bahan itu satu kilogram kekal pada RM2.50. — Bernama

Advertisement