Anda di sini

Tuntut semula hak tiada kaitan ideologi S’wak mahu keluar M’sia

Advertisement

MIRI: Tuntutan Sarawak mengembalikan semua hak Sarawak termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA) 1963 tiada kaitan ideologi Sarawak mahu keluar dari Malaysia.

Aktivis Sosial Masyarakat, Wan Zain Syed Mohdzar berkata Sarawak tetap kekal bersama Malaysia namun ia tidak bermaksud Sarawak tidak diberi hak untuk mengembalikan semua hak dalam MA1963.

“Kenyataan dikeluar pengendali laman sosial ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ baru-baru ini sengaja memburukkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Memang benar Sarawak lantang mahukan semua hak Sarawak dikembali dalam MA1963 tetapi ia tidak bermaksud Sarawak harus keluar Malaysia kerana telah bersama sekian lama,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Baru-baru ini, Pejabat Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan penafian terhadap laman itu yang mendakwa Ketua Menteri mengancam mahu keluar dari Malaysia.

Bahkan ia juga menyebut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyalahkan UMNO dan kerajaan persekutuan kerana beberapa dasar menjejaskan negara.

Rangkuman daripada fitnah terbabit pihak polis berjaya menangkap individu yang menjadi pengendali laman Facebook itu pada 9 November lalu.

Mengulas mengenai fitnah terbabit, Wan Zain berkata individu memburukkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang daerah.

“Dalam usaha kerajaan mengembalikan kuasa autonomi, tuntutan royalti dan sebagainya, timbul pula fitnah daripada individu mahukan hubungan Sarawak dan kerajaan pusat retak.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan sahaja menjejas perpaduan kaum di Malaysia bahkan mewujudkan situasi perkauman antara kepulauan Borneo dan tanah semenanjung,” tegasnya.

Menurutnya, beberapa hak Sarawak terutama dalam Senarai Negeri dan ANNEX C dalam MA 1963 terhakis dan ia perlu dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

Perkara 5 ANNEX C ada menyebut ‘Perlindungan ini akan meliputi perkara seperti kebebasan beragama, pendidikan, perwakilan dalam Parlimen, kedudukan penduduk asal, kawalan imigrasi, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri.’

“Sekarang bukan isu Sarawak mahu keluar Malaysia tetapi bagaimana kerajaan pusat mahu mengembalikan semula hak-hak Sarawak yang telah terhakis dalam MA 1963,” katanya.

Advertisement