Anda di sini

Singapore Polytechnic ungguli dua kategori perlumbaan bot naga

Advertisement
 Pasukan perahu naga bersaing pada perlumbaan bot naga di Tebingan Kuching semalam.

BERSAING: Pasukan perahu naga bersaing pada perlumbaan bot naga di Tebingan Kuching semalam.

KUCHING: Pasukan dari Singapura, Singapore Polytechnic cemerlang dengan muncul juara dua kategori Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa yang berlangsung rancak di Tebingan Kuching di sini semalam.

Pasukan itu mengungguli kategori Campuran 12 Pekayuh dan Terbuka 12 Pekayuh.

Dalam perlumbaan Campuran 12 Pekayuh, tempat kedua dimenangi pasukan dari Brunei Darussalam, MLP Lela Chateria manakala perahu tuan rumah, Wani- Wani Oya menduduki tempat ketiga.

Wakil dari Filipina, Blue Phoenix Philippines meraih tempat keempat.

Saingan Terbuka 12 Pekayuh Antarabangsa pula menyaksikan Wani-Wani Oya menduduki tempat kedua.

Pasukan Landas di tempat ketiga dan Brunei Darussalam meraih tempat keempat.

Saingan Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa berakhir hari ini dengan dua lagi kategori dipertandingkan iaitu 20 Pekayuh Campuran Antarabangsa dan 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa.

Sementara itu, kelmarin (Jumaat) berlangsung perlumbaan bot naga bagi pekayuh tempatan dengan disertai beberapa pasukan terdiri sekitar Bahagian Kuching, Kota Samarahan dan sebagainya.

Antara pasukan tempatan yang mencuri tumpuan ialah ASAROZ dari Kota Samarahan bimbingan pengurusnya, Datuk Rozalix Edi Wahab.

Walaupun gagal meraih tempat terbaik hanya menduduki tempat ketiga dan keempat namun pasukan ASAROZ mampu memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain pada perlumbaan itu.

Menurut Rozalix, pasukannya menampilkan barisan pekayuh generasi muda yang berusia semuda 14 tahun bersaing pada perlumbaan bertaraf antarabangsa itu.

“Walaupun pasukan kami gagal meraih kedudukan terbaik namun saya tetap berpuas hati dengan penampilan pekayuh-pekayuh muda sebagai pendedahan buat mereka,” katanya ditemui di Tebingan Kuching di sini semalam.

Menurut Rozalix, beliau percaya penyertaan generasi muda pada perlumbaan itu dapat menggalakkan golongan belia menyertai dan meminati sukan air terutamanya perlumbaan perahu naga.

Sehubungan itu, beliau memohon wakil rakyat di kawasan Samarahan termasuk korporat sdan syarikat swasta bekerjasama membentuk pasukan perlumbaan perahu naga yang mantap masa akan datang.

“Saya yakin dengan kerjasama erat wakil rakyat, swasta dan korporat kita mampu membentuk pasukan perahu naga di Bahagian Samarahan yang mantap dibarisi generasi muda masa akan datang,” katanya.

 

Advertisement