Anda di sini

Pengusaha harus terima inovasi pembungkusan pulut panggang

Advertisement

SIBU: Pengusaha pulut panggang di sini diseru menyambut baik inovasi pembungkusan yang mampu melanjutkan jangka hayat makanan tersebut.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi), Dr Annuar Rapa’ee berkata ini bagi meningkat pendapatan mereka menerusi liputan pasaran lebih luas.

Beliau difahamkan disebabkan inovasi pembungkusan berkenaan, pulut panggang kini boleh disimpan untuk tempoh sehingga lapan bulan.

“Oleh itu, peniaga pulut panggang seharusnya menyambut baik perkara ini supaya produk mereka boleh dipasarkan dengan meluas seluruh negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Inovasi Pembungkusan Pulut Panggang Sibu di sini kelmarin.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi), Datuk Julaihi Narawi.

Program itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan (MIETI) Sarawak dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, wakil Setiausaha Tetap MIETI Rozaini Mohammad Zahir, Pengarah MARDI Sarawak Mohd Noor Yahya, Ketua Penyelidik Inovasi Pembungkusan Pulut Panggang Sibu Dr Chua Hun Pin, Temenggung Wan Hamid Edruce dan Temenggung Stanley Geramong.

Dr Annuar mencadangkan pengusaha membuka cawangan mereka di tempat awam seperti Lapangan Terbang Sibu kerana kebanyakan orang luar datang ke Sibu menghadapi kesukaran mendapatkan stok pulut panggang.

ADUN Nangka itu berkata Pulut Panggang Sibu terkenal bukan sahaja kalangan penduduk tempatan malah orang luar.

“Sukar bagi pengusaha pulut panggang menghasilkan skala besar kerana faktor-faktor tertentu seperti kekurangan bahan mentah untuk pembuatan,” ujarnya.

Sementara itu, usaha beliau menarik MARDI melakukan inovasi pembungusan pulut panggang mendapat pujian Julaihi sehingga terhasilnya pulut panggang sejuk beku boleh bertahan lama.

Dalam ucapannya, Dr Annuar turut menyingkap sejarah pada 2014 apabila terciptanya pulut panggang gergasi di Sibu dalam usaha memasukkan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Pulut panggang dengan ukuran 5.5 meter panjang, diameter 20cm dan berat 160kg adalah terbesar dan terpanjang pernah dihasilkan di negara ini.

Kira-kira 150kg beras pulut, 60kg (santan) santan, lima guni arang dan timbunan daun pisang digunakan mencipta rekod itu.

Kejayaan itu disahkan oleh Nurul Huda Zakaria, wartawan penyelidikan MBOR dan disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri 2014.

Sementara itu, Dr Annuar pernah melihat bagaimana seorang peniaga terpaksa berhadapan dengan asap tebal melakukan proses memanggang pulut panggang di Kampung Bandong di sini.

Beliau mencadangkan agar Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) bersama MARDI tampil dengan inovasi menggantikan kaedah tradisional memanggang produk itu.

Advertisement