Anda di sini

Masa depan S’wak cerah jika anak muda bersemangat tinggi

Advertisement

KUCHING: Masa depan Sarawak cerah dengan adanya generasi muda masa kini yang mempunyai semangat kepimpinan tinggi, kreatif dan inovatif.

Perkara itu ditegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada sesi ‘townhall’ sempena Hari Belia Peringkat Negeri mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di auditorium Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini semalam.

“Kita di barisan kabinet negeri melihat dan berasa bahawa masa depan Sarawak cerah dengan adanya generasi muda sangat kreatif dan inovatif serta kepimpinan yang baik,” katanya.

Malah, Abang Johari memberitahu suasana hidup masyarakat di negeri ini khususnya golongan belia yang tidak agresif dan bersatu hati dalam setiap tindakan juga menggambarkan jaminan kepada masa depan Sarawak.

Pada masa sama Menteri Perumahan dan Urbanisasi itu berkata, Sarawak juga mempunyai sumber asli yang dipelihara dengan baik untuk menjadi khazanah berharga kepada generasi seterusnya.

“Justeru, di bawah kepimpinan Ketua Menteri kita menekan bahawa kita mahu belia berfikiran terbuka. Kita mahu belia tahu arah tuju negara dalam masa sama negeri kita ini.

“Kamu adalah individu yang mampu mengubah dunia dan sebab itulah Ketua Menteri sering mengatakan agar kita sentiasa mendekati belia,” tambahnya.

Katanya lagi, sebab itu juga kerajaan menyediakan landasan untuk golongan tersebut maju ke hadapan menerusi pelbagai program yang disediakan.

“Kalaulah belia di depan saya ini berjuang secara intelek, kita berjuang bukan secara membabi buta maka masa depan Sarawak akan sentiasa cerah,” ujarnya.

Selain itu, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian yakin Sarawak mampu melahirkan seorang usahawan online berjaya seperti Jack Ma.

Namun, untuk mencapai hasrat itu, beliau memberitahu kerajaan kini menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menaik taraf infrastruktur kelajuan Internet di seluruh Sarawak.

Sesi townhall yang menampilkan moderator Penganalisis Politik Prof Jeniri Amir itu semalam turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Advertisement