Anda di sini

Amukan kaki gam

Advertisement
 Suspek ditahan polis semalam.

DITANGKAP: Suspek ditahan polis semalam.

  Salah seorang mangsa menunjukkan kecederaan di tangan.

PESAKIT LUAR:
Salah seorang mangsa menunjukkan kecederaan di tangan.

 Mangsa yang cedera di kepala dan leher dirawat di Hospital Lawas.

PARAH: Mangsa yang cedera di kepala dan leher dirawat di Hospital Lawas.

Seorang parah, dua cedera ditetak lelaki tidak tahan asyik dimarahi kerana menghisap gam.

Oleh Mastura Ismail //

LAWAS: Berang kerana kerap dimarahi pakcik sendiri, seorang lelaki tergamak mencederakan ahli keluarga sebelah ayahnya menggunakan parang dalam kejadian amuk dan tetak di Kampung Belangsat, Jalan Punang Lawas di sini tengah hari semalam.

Kejadian pada jam 12.40 tengah hari itu menyebabkan mangsa yang berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan kepala selepas ditetak menggunakan parang oleh suspek, 22, iaitu anak saudaranya sendiri yang dipercayai khayal akibat pengaruh gam.

Manakala, dua lagi saudaranya yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Lawas.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintenden Polis Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata terdahulu berlaku pertengkaran antara suspek dan ketiga-tiga mangsa.

“Suspek yang dalam pengaruh gam dipercayai tidak tahan kerana sering dimarahi dan ditegur oleh ketiga-tiga mangsa akibat perbuatannya menghisap gam.

“Suspek kemudiannya bertindak ganas dengan menetak mangsa-mangsa terbabit menggunakan parang,” katanya kepada media semalam.

Jelas Abang Zainal lagi, suspek berjaya ditangkap di rumahnya sendiri.

“Suspek yang menyembunyikan diri selepas mengamuk, kembali semula ke rumahnya dipercayai dengan niat hendak menghisap gam semula.

“Bagaimanapun, dia kemudiannya ditangkap dan pihak polis giat meneruskan usaha mengesan di mana suspek menyembunyikan parang yang digunakan untuk menetak mangsa,” ujarnya.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Advertisement