Anda di sini

KPDNKK Pahang sita kilang seleweng subsidi minyak masak

Advertisement
 Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Mohd Faizul Mohd Zaini (kiri) dan Norzuraiman Che Nordin melekatkan tanda kod pada mesin pembungkusan yang disita semasa operasi pemeriksaan di sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi, dekat Pekan, semalam. — Gambar Bernama

SELEWENG: Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Mohd Faizul Mohd Zaini (kiri) dan Norzuraiman Che Nordin melekatkan tanda kod pada mesin pembungkusan yang disita semasa operasi pemeriksaan di sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi, dekat Pekan, semalam. — Gambar Bernama

PEKAN: Sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi di sini, disita kerana disyaki terlibat menyeleweng minyak masak bersubsidi, sejak awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata kegiatan kilang itu terbongkar selepas KPDNKK membuat pemeriksaan ke atas sebuah kilang penapisan di Gebeng, Kuantan kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan itu mendapati nama kilang tersebut ada dalam senarai pembeli minyak masak bersubsidi.

“Kilang itu beroperasi sejak 2004 tetapi telah menghantar notis tidak lagi beroperasi kepada KPDNKK sejak setahun lalu. Bagaimanapun, pemeriksaan di kilang di Gebeng semalam (kelmarin) mendapati mereka masih membuat pembelian.

“Rekod juga menunjukkan sejak Jan hingga Okt lalu, kilang itu telah membeli 494.69 tan metrik minyak masak melibatkan nilai subsidi yang dianggarkan melebihi RM113,000,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Alwi berkata kilang itu diusahakan seorang lelaki berusia 76 tahun bersama menantunya berumur 60 tahun dan memiliki lesen membungkus semula minyak masak sehingga 2018, serta pernah membuat permohonan untuk menambah kuota pembelian, namun tidak diluluskan.

Minyak masak yang dibungkus semula di kilang itu sebelum ini adalah dipercayai untuk pasaran kedai runcit di Pekan dan daerah berhampiran.

“Bagaimanapun, kita percaya kilang itu telah lama tidak beroperasi kerana tiada minyak masak ditemui di premis tersebut selain mesin pembungkusan kelihatan sudah lama tidak digunakan manakala plastik dan kotak pembungkusan tidak diusik,” katanya.

Alwi berkata daripada siasatan awal, pengarah kilang itu mendakwa minyak masak yang dibeli di Gebeng dijual semula kepada seorang pembeli dari Klang, Selangor.

“Perbuatan mereka adalah melanggar Jadual 2 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan kita akan memohon supaya pengawal bekalan iaitu Ketua Setiausaha KPDNKK untuk membatalkan lesen mereka,” katanya.

Alwi berkata pengarah kilang itu juga boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM2 juta bagi syarikat, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata dalam operasi itu, KPDNKK juga menyita peralatan bernilai RM280,000 termasuk mesin pembungkusan yang dianggarkan bernilai RM150,000. — Bernama

Advertisement