Anda di sini

Dagangan Malaysia-China cecah RM170.6b antara Jan-Sept

Advertisement

Import meningkat 9.1 peratus, eksport susut 8.5 peratus

KUALA LUMPUR: Dagangan dua hala antara Malaysia-China mencecah RM170.6 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong berkata daripada jumlah itu, produk siap menyumbang RM154.7 bilion, diikuti produk pertanian (RM9.2 bilion) dan mineral (RM6 bilion).

“Dalam tempoh yang sama, import Malaysia dari China meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM102.7 bilion,” katanya.

Eksport bagaimanapun susut 8.5 peratus kepada RM67.9 bilion.

Lee berkata eksport yang lemah dalam barangan elektrik dan elektronik, serta permintaan yang lebih rendah ke atas komoditi seperti minyak sawit, gas asli cecair dan getah asli, berpunca daripada kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Perdagangan Ekonomi dan pelaburan Malaysia-China (Dezhou), di sini semalam.

Beliau berkata pada September, dagangan dua hala kedua-dua negara meningkat 1.3 peratus kepada RM21.2 bilion, menyumbang 16.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Untuk bulan yang sama, eksport ke China susut satu peratus disebabkan penurunan eksport dalam pembuatan logam dan keluaran petroleum.

“Import dari China bagaimanapun meningkat tiga peratus,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit ASEAN Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata prestasi dagangan dua hala antara Januari hingga September merupakan defisit pertama direkodkan antara China dan Malaysia tahun ini.

“Diharapkan menjelang akhir 2016, dagangan akan berkembang dan menyamai prestasi tahun lepas,” katanya.

Beliau menggalakkan lebih banyak PKS melabur dalam e-dagang, kedai runcit atau francais untuk membuka pasaran China dan membantu meningkatkan eksport dari Malaysia ke negara itu.

“Kami juga menggalakkan lebih banyak syarikat meningkatkan kualiti,  kreatif dan inovatif sebagai pendekatan untuk memasuki pasaran China,” katanya.

Raja Badrulnizam berkata walaupun China kekal sebagai rakan dagang terbesar, jumlah dagangan dengan ASEAN, sebagai sebuah kumpulan, masih tinggi manakala Singapura merupakan destinasi eksport utama Malaysia.

“Kami terbuka kepada mana-mana pelaburan dari negara-negara luar yang dapat memberi manfaat kepada negara, dan kami tidak bergantung kepada pelaburan dari China semata-mata,” katanya.

Tahun lepas, dagangan antara Malaysia dan China meningkat 11.1 peratus  kepada RM230.9 bilion, dengan eksport ke China melonjak 10 peratus kepada RM101.3 bilion. — Bernama

Advertisement