Anda di sini

Agrobank sediakan akses kepada perkhidmatan kewangan berpatutan pada kadar kompetitif

Advertisement
 Destinasi Baru untuk Kewangan Islam’ yang berlangsung di Bahrain, Isnin. — Gambar Bernama

PERSIDANGAN: Wan Mohd Fadzmi mewakili Agrobank pada Persidangan Kewangan Islam Tahunan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) Bank Dunia yang ke-11 anjuran AAOIFI sebagai pengulas untuk sesi forum yang bertajuk ‘Pembiayaan Pertanian: Destinasi Baru untuk Kewangan Islam’ yang berlangsung di Bahrain, Isnin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Agrobank menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan capaian melalui akses kepada perkhidmatan kewangan dengan harga dan pembiayaan yang berpatutan, kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Katanya, sejak beberapa tahun ini, tumpuan Agrobank lebih banyak kepada membangunkan produk inovatif untuk kumpulan sasaran, seperti, ‘Padi-i’ pinjaman kewangan yang memenuhi keperluan pesawah dengan pendapatan bermusim dan ‘AgroBakti’ khususnya untuk orang kurang upaya.

Selain daripada itu, Agrobank juga memberi fokus kepada servis luar bandar dan ini dicerminkan apabila lebih 71 peratus daripada cawangan dan kiosk bank tersebut terletak di kawasan ini, katanya dalam satu kenyataan.

Agrobank juga telah melantik sebanyak 290 ejen perbankan melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menyediakan perkhidmatan asas perbankan di seluruh negara.

“Sebagai sebuah institusi pembiayaan pembangunan, kita menumpukan kepada usaha menabur bakti untuk masyarakat yang kurang mendapat liputan perkhidmatan.

“Agrobank percaya bahawa pembiayaan pertanian mampu memperkasakan petani miskin dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan kekayaan mereka,” Wan Mohd Fadzmi.

Beliau berkata sekuriti makanan telah menyebabkan pembiayaan pertanian mendapat momentum, terutama dengan penambahan populasi penduduk global serta perubahan selera pemakanan oleh golongan kelas pertengahan di negara membangun ke arah makanan bernilai tinggi seperti susu, daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Tahunan ke-11 Bank Dunia-Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) yang diadakan semalam di Bahrain.

“Bank Dunia menganggarkan permintaan terhadap makanan akan meningkat sebanyak 70 peratus menjelang 2050, dan pelaburan dalam teknologi adalah sangat penting bagi meningkatkan pengeluaran makanan dan produktiviti,” katanya.

Sokongan Agrobank akan diberikan melalui perkhidmatan dan produk yang inovatif serta patuh Syariah kepada bisnes tani yang menggunakan teknologi termasuk inovasi.

“Baru-baru ini, wujud penumpuan ke arah pembiayaan berlandaskan syariah untuk pertanian dan kami percaya bahawa ini merupakan perkembangan yang positif disebabkan pertanian sentiasa dikaitkan dengan makanan, dan bagi orang Islam, amat penting untuk memastikan makanan yang dimakan setiap hari adalah halal,” katanya.

Sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya sejak 2015, Agrobank memastikan bahawa urusniaga-urusniaga perniagaan makanan juga patuh kepada Syariah, katanya.

Agrobank merupakan salah satu bank terkemuka di Malaysia yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kewangan yang holistik, dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian.

AAOIFI, ditubuhkan pada tahun 1991 dan berpusat di Bahrain, merupakan pertubuhan antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang terkemuka, ia   bertanggungjawab bagi pembangunan dan pengeluaran yang standard untuk industri kewangan Islam global. — Bernama

Advertisement