Anda di sini

Penganjur BERSIH 5 harap Adenan lulus permohonan guna Panggung Udara

Advertisement
Ann(dua kanan) semasa bercakap kepada pemberita di hadapan IPD Kuching semalam.

SIDANG MEDIA:Ann(dua kanan) semasa bercakap kepada pemberita di hadapan IPD Kuching semalam.

KUCHING: Jawatankuasa penganjur BERSIH 5 berharap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meluluskan permohonan menggunakan Panggung Udara sebagai venue perhimpunan aman pada 19 November ini.

Naib Pengerusi BERSIH Sarawak Ann Teo berkata, pihaknya akan bersiap sedia memastikan perhimpunan tersebut dijalankan dalam keadaan aman dan lancar.

“Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, kami ada memohon menggunakan  Panggung Udara di Taman Budaya sebagai venue selepas permohonan kami menggunakan Padang Merdeka ditolak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU),” katanya

Menurutnya juga, permohonan venua (Padang Merdeka) tersebut ditolak ekoran penganjuran regata.

Tambahnya jika dilihat kepada rekod perhimpunan BERSIH sebelum ini ia telah dijalankan dengan aman,  termasuk perhimpunan BERSIH 3 di pekarangan Mahkamah Lama di Tebingan Kuching dan perhimpunan BERSIH 4 di Padang Rekreasi Song Kheng Hai.

“Rakyat Sarawak telah membuktikan kebolehan mereka dalam menyertai perhimpunan secara aman.

“Malahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga telah meluluskan Padang Song Kheng Hai untuk perhimpunan BERSIH 4 sebelum ini,” kata Ann yang turut memberitahu bahawa Adenan telah mengarahkan MBKS memberi kebenaran kepada penganjur menggunakan venue.

Berhubung pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Kuching katanya, penganjur mengemukakan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung perhimpunan BERSIH 5 yang diadakan pada 19 November nanti.

“Kita telah melakukan ini di setiap peringkat konvoi BERSIH 5 yang mana dilakukan setiap hujung minggu sejak 1 Oktober lepas di setiap bandar atau daerah yang dilalui konvoi.

“Kami telah mengemukakan notis berkaitan kepada setiap pejabat polis daerah,” katanya.

Advertisement