Anda di sini

PDP minta polis bertegas terhadap individu sebar kenyataan palsu

Advertisement

MIRI: Parti Demokratik Progresif (PDP) di sini semalam meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik kenyataan palsu kononnya dikeluarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Penerangan Pemuda PDP Jaya Ramba ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini semalam memberitahu bahawa kenyataan Adenan yang mengancam kerajaan persekutuan dengan membawa Sarawak keluar dari Malaysia adalah palsu dan berbau fitnah yang cuba memburukkan Ketua Menteri dan imej negeri ini.

“Tuduhan tersebut juga berunsur hasutan dan berniat jahat terhadap Ketua Menteri. Justeru, PDP meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu menyebarkan kenyataan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kenyataan palsu itu bukan sahaja menjadi viral di laman sosial seperti Facebook tetapi turut disebarkan dengan meluas menerusi laman bual sosial seperti Whatsapp.

Jaya berkata beliau mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dengan mendalam dan mahu tindakan tegas diambil.

Kenyataan dimuat naik dan menjadi viral itu dilaporkan bermula daripada akaun Facebook milik ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ yang kemudiannya tersebar dengan meluas.

Advertisement