Anda di sini

Pasar raya di Serian berdepan tindakan

Advertisement
 Anggota penguat kuasa KPDNKK menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Serian.

PERIKSA: Anggota penguat kuasa KPDNKK menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Serian.

 Pasar raya di Serian didapati menyimpan gula di tempat tidak dilesenkan oleh KPDNKK.

SIMPAN GULA: Pasar raya di Serian didapati menyimpan gula di tempat tidak dilesenkan oleh KPDNKK.

KUCHING: Sebuah pasar raya di Serian akan didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam masa terdekat selepas disyaki menyimpan barang kawalan minyak masak dan gula di tempat tidak dilesenkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A Rahim berkata ia didapati menyimpan gula pasir kasar berjumlah kira-kira 2.5 tan, manakala minyak masak sawit hampir 600 kilogram.

Jika sabit kesalahan, denda bagi orang perseorangan ialah RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali dan kesalahan berikutnya ialah denda RM3 juta atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Bagi syarikat atau badan korporat denda bagi kesalahan pertama ialah RM2 juta dan kesalahan berikutnya ada RM5 juta.

Menurutnya, pasar raya itu merupakan tempat pengguna membeli-belah termasuk warga asing dari negara jiran.

“Kita memuji tindakan kastam yang bertungkus-lumus menghalang keluarnya minyak masak dan gula di CIQ Tebedu dan hasil maklumat didapati bekalan kepada warga asing ini berpunca daripada pasar raya ini.

“Pihak pemborong yang didapati membekalkan minyak masak dan gula kepada pasar raya ini juga akan disiasat,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya lagi, pemeriksaan pada Isnin lepas bermula pada jam 1.30 hingga 6 petang dengan kekuatan anggota seramai enam pegawai penguat kuasa KPDNKK.

KPDNKK juga telah mendapatkan kerjasama polis untuk logistik.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dijalankan di semua peringkat perniagaan, bandar dan luar bandar seperti pengilang, pengeluar, pembekal, pengedar, pengimport, pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan bekalan untuk pengguna di negara ini tidak terjejas.

Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan kepada KPDNKK melalui e-mel [email protected], talian 1-800-886-800, atau mana-mana pejabat KPDNKK.

Advertisement