Anda di sini

Masalah dadah di Lawas harus dipandang serius

Advertisement

Ekoran penangkapan guru, rakan subahatnya disyaki pengedar syabu, baru-baru ini

KUCHING: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian menyeru polis  memandang serius masalah dadah di Lawas ekoran penangkapan seorang guru sekolah menengah dan rakan subahatnya, yang disyaki pengedar syabu, baru-baru ini.

Baru berkata penangkapan itu hanya sebahagian kecil daripada masalah tersebut dan ia terutamanya membimbangkan kerana melibatkan seorang guru, yang menimbulkan persoalan tentang sama ada guru terbabit terlibat dalam pengedaran dadah kepada pelajar atau tidak.

Beliau malah merujuk kepada dua rencana yang ditulis oleh pasukan BAT, Borneo Post ‘Drugs ruin Lawas’ reputation as northern gateway’ (Dadah rosak reputasi Lawas sebagai gerbang utara) pada 30 Jun dan ‘Drugs abuse rampant but no flesh trade’ (Penyalahgunaan dadah berleluasa tetapi tiada pelacuran) pada 2 Julai, yang memetik sumber sebagai berkata syabu dapat dibeli di pasar sayur dengan harga RM50 bagi satu straw dan pengedar dadah meminta pelajar menjual dadah kepada rakan sekolah.

Baru berkata beliau sudah banyak kali membangkitkan masalah dadah di Lawas, di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 2012, ketika beliau pertama kali menyatakan dadah mudah diperolehi di pasar sayur, polis menafikannya dan meminta beliau mengemukakan bukti.

Beliau memaklumkan bahawa penduduk Lawas amat menyedari tentang keseriusan masalah ini dan begitu bimbang mengenainya sehinggakan mereka menganjurkan Hari Antidadah mereka sendiri pada 2014.

“Pihak polis mesti serius mengenai isu ini kerana maklumat yang saya terima setakat ini amat meresahkan.

“Syabu dijual secara bebas di kampung-kampung dan oleh yang demikian, tiada yang kebal atau dilindungi daripada gejala sosial ini. Penyalahgunaan dadah telah menimbulkan masalah sosial lain seperti jenayah ringan dan perjudian haram.

“Pihak polis mesti mempertingkatkan usaha untuk memerangi masalah ini. Saya menyeru kepada Pesuruhjaya Polis untuk menghantar pasukan khas ke Lawas dan berbincang dengan rakyat dan menyiasat sepenuhnya apa yang sedang berlaku di bandar dan kampung.

“Operasi khas perlu kerap dijalankan untuk membongkar pengedaran dadah. Polis harus menimbang untuk menggunakan beberapa ekor anjing pengesan dadah.

“Ia adalah satu cara yang berkesan untuk mengesan pengedar dan penagih dadah. Pada waktu yang sama, kawalan sempadan mesti dipertingkatkan untuk membendung kemasukan dadah dari Sabah,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.

Beliau menambah, semua sekolah harus memberi keutamaan kepada program kesedaran dadah supaya kanak-kanak sekolah tahu tentang kerosakan yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah.

“Paling penting, pihak polis mesti menyiasat sama ada guru lain terlibat atau tidak dalam penyeludupan dadah dan jika begitu, ambil tindakan pantas ke atas mereka.

“Gejala ini mesti dibasmi, jika tidak sebahagian besar generasi muda di Lawas mungkin tidak akan mencapai potensi mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna,” katanya.

Baru yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, berkata beliau telah meminta statistik bagi kejayaan agensi penguatkuasaan di Lawas sewaktu Persidangan DUN terakhir Jun lepas.

Jawapan yang beliau terima kira-kira dua minggu lepas ialah ‘ancaman dadah di Lawas tidak serius dan masih terkawal’.

“Kenyataan ini bercanggah dengan apa yang dijumpai pemberita pasukan BAT Borneo Post ketika mereka bercakap dengan penduduk tempatan.

“Ia seakan-akan masalah komunikasi wujud di antara pihak polis dengan rakyat. Ada sesuatu yang tidak kena di sini jika penduduk lebih bimbang daripada polis mengenai penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.

“Apa yang disebut oleh sumber berkenaan kepada pemberita memberi sesuatu untuk kita renungkan – dia menyatakan pihak berkuasa sepatutnya hanya membenarkan kakitangan polis bertugas di Lawas tidak lebih daripada dua tahun untuk lebih berkesan,” kata Baru.

Pada Sabtu lepas, polis di Lawas menangkap seorang guru sekolah berusia 33 tahun yang disyaki pengedar dadah syabu bersama seorang rakan subahat lelaki berusia 36 tahun di dalam sebuah kereta di Jalan Merapok.

Sepaket syabu seberat 27.7 gram dianggarkan bernilai RM4,000 dijumpai di dalam tempat letak tangan kenderaan tersebut. Kedua-dua suspek juga didapati positif ‘ampethamine’.

Ketua Polis Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dipetik sebagai berkata oleh Bernama bahawa berdasarkan siasatan, dadah itu tidak dijual kepada pelajar sekolah menengah di mana guru terbabit mengajar.

Abang Zainal juga berkata dadah itu untuk dijual di seberang sempadan di Indonesia, dan polis telah menjejaki dan memantau operasi berkenaan selama kira-kira empat bulan.

Advertisement