Anda di sini

Festival Kraf Sarawak bermula Jumaat ini

Advertisement

KUCHING: Persekitaran Tebingan Kuching di sini dimeriahkan dengan Festival Kraf Sarawak selama 10 hari bermula Jumaat ini, bakal menampilkan pelbagai aktiviti jualan dan interaktif seni kraf untuk penyertaan ramai.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip berkata, 70 usahawan pelbagai bidang kraf dari Sabah, Sarawak, Kelantan, Kuala Lumpur, Terengganu, Selangor dan Kedah mengesahkan pembabitan mereka pada festival kali ini.

Beliau berkata para usahawan menampilkan jualan hasil kraf merangkumi pelbagai bidang seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf.

Menurutnya selain jualan, festival itu turut menampilkan beberapa acara kesenian seperti persembahan petikan alat muzik sape dan paluan gendang Melayu, di samping persembahan ‘busking band’ dari semasa ke semasa.

“Festival ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan kraf Malaysia mempromosi dan memasarkan produk mereka di pusat tumpuan ramai, di samping berusaha menggalakkan minat terhadap penggunaan produk kraf tempatan dalam kalangan orang ramai dan menyemarak rasa cintakan seni warisan kraf,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melepaskan peluang mengunjungi festival ini pada awal minggu penganjuran kerana menjelang 18 November Tebingan Kuching dijangka bertambah sesak dengan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan Festival Tebingan Kuching-Regata Sarawak 2016 selama tiga hari. — Bernama

Advertisement