Anda di sini

Rebut peluang untuk tingkat taraf sosioekonomi

Advertisement

Penduduk sepanjang Sungai Sesibau dan Sungai Anggau digesa merebut peluang bercucuk tanam

// Oleh Reno Benjamin //

KAPIT: Penduduk sepanjang Sungai Sesibau dan Sungai Anggau digesa supaya merebut peluang bercucuk tanam untuk meningkat taraf sosioekonomi mereka.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat menggesa Jabatan Pertanian turun padang bagi memberi nasihat kepada penduduk tentang cara bercucuk tanam dan penggunaan racun serangga.

Kedua-dua kawasan tersebut katanya, mempunyai tanah subur dan luas serta sesuai dijadikan sebagai tapak untuk bercucuk tanam.

“Selain untuk kegunaan harian, hasil pertanian seperti sayur-sayuran ini boleh dijual bagi membantu menambah pendapatan keluarga masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bersama Komuniti, Pembangunan Modal Insan dan Alam Sekitar 2016 anjuran Majlis Daerah Kapit (MDK) di Rumah Meliyu, baru-baru ini.

Jamit turut menyeru penduduk di kedua-dua kawasan terbabit sentiasa mengutamakan amalan kebersihan di kawasan masing-masing.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan persekitaran bebas daripada serangan penyakit berjangkit bawaan nyamuk aedes dan lalat.

“Selain itu kita juga harus memastikan sungai tidak tercemar. Harus diingat bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Di samping itu, Jamit turut menggesa penduduk kedua-dua kawasan terbabit memberi tumpuan terhadap pembangunan pendidikan anak masing-masing.

“Generasi muda harus memanfaatkan sepenuhnya segala potensi membangun menjadi modal insan berharga kepada bangsa dan negara pada masa depan,” katanya.

Turut hadir ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Wali Kota MDK Philimon Nuing, Setiausaha Politik Ketua Menteri Nicholas Kudi Jantai, Penghulu Engging Nyipa serta yang lain.

Advertisement