Anda di sini

Brunei cipta kejutan awal

Advertisement

Benam Timor Leste 4-0 aksi pembukaan Kumpulan A Piala Solidariti AFC

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

 Azwan (kiri) meraikan jaringannya bersama Adi Said ketika menewaskan Timor Leste 4-0 dalam saingan Kumpulan A, Piala Solidariti AFC 2016 di Kuching, malam kelmarin.

TERUJA: Azwan (kiri) meraikan jaringannya bersama Adi Said ketika menewaskan Timor Leste 4-0 dalam saingan Kumpulan A, Piala Solidariti AFC 2016 di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Brunei Darussalam mencipta kejutan apabila melakarkan kemenangan bergaya 4-0 ketika menentang Timor Leste dalam aksi pembuka tirai Piala Solidariti AFC Malaysia 2016 bagi Kumpulan A di Stadium Sarawak, malam kelmarin.

Meskipun tidak meletakkan harapan tinggi, namun Brunei beraksi cemerlang dalam keadaan padang basah sekali gus mengutip tiga mata berharga.

Timor Leste yang dilihat berpeluang mencipta kemenangan pertama namun dikecewakan skuad Tebuan yang tampil selaku pasukan ‘underdog.’

Pemain gantian, Azwan Ali yang dimasukkan pada babak kedua saingan muncul wira skuad dari Borneo itu apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-62 sebelum menambah jaringan peribadinya selang enam minit kemudian.

Manakala, gol ketiga Brunei dijaringkan oleh Shah Razen Said pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti.

Penyerang kebangsaan Brunei, Adi Said melengkapkan malam bergaya skuad bimbingan Kwon Oh Son selepas menyempurnakan jaringan keempat pasukan menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter pada minit ke-80.

Kwon ketika sidang media selepas perlawanan itu berpuas hati dengan prestasi dan persembahan anak didiknya ketika membenam Timor Leste.

“Kredit harus diberikan kepada semua pemain kerana bergaya mencipta kemenangan pertama.

“Kita akan meneruskan rentak ini pada perlawanan seterusnya, bagi merealisasikan misi memburu kejuaraan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Timor Leste, Fabio Da Silva mengakui kecewa dengan kekalahan itu.

“Kami bermain dengan baik pada mulanya, namun para pemain mula hilang fokus selepas mereka (Brunei) menjaringkan gol pertama.

“Pemain banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku ketika bermain di padang yang basah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan permukaan padang berair tidak harus dijadikan alasan yang menyumbang kepada kekalahan itu.

Beliau berkata, Brunei beraksi cemerlang meskipun bermain dalam keadaan hujan dan padang basah, malah mereka layak dengan kejayaan itu.

Apa pun, Timor Leste memerlukan keajaiban untuk bangkit memburu kemenangan menjelang aksi bertemu Nepal pada Sabtu ini bagi membuka peluang untuk layak ke pusingan kalah mati.

Advertisement